Sekilas
- Firman Bansir terbuka menerima segala kecaman netizen selepas menyertai Gegar Vaganza Fantasia (GVF) dan menjadikannya sebagai motivasi untuk memperbaiki persembahan.
- Firman menganggap kecaman sebagai perkara biasa dalam dunia seni kerana setiap orang mempunyai citarasa berbeza terhadap penyanyi kegemaran mereka.
- GV13 menampilkan sembilan peserta popular dan dikendalikan oleh trio pengacara Nabil Ahmad, Jihan Muse, dan Sherry Alhadad, dengan juri tetap Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang, dan Datuk Syafinaz Selamat.
Penyanyi, Firman Bansir mengakui tidak kisah menerima sebarang kecaman atau komen daripada netizen di media sosial selepas menyertai program fenomena, Gegar Vaganza Fantasia (GVF) yang bakal membuka tirai tidak lama lagi.
Menurut Firman, dia memilih untuk menerima setiap teguran secara terbuka dan menjadikannya sebagai ruang untuk memperbaiki kelemahan diri, khususnya ketika membuat persembahan di atas pentas.
“Saya okay sahaja, bukan nak cakap hati kental, tapi kalau saya tengok media sosial atau tidak pun sama juga. Terima sahajalah.
“Bila ada satu kecaman daripada netizen, kita sekadar ambil dan jadikan nasihat. Kalau teguran tu membina, kita jadikan sebagai nasihat.
“Sebab kita tidak nampak, kadang-kadang kita ni pun syok sendiri juga atas pentas. Rasa seperti sudah hebat, tetapi ada orang lain yang melihat, jangan lupa.
“Pada saya, saya jadikan teguran itu sebagai penanda aras untuk saya jadi lebih baik atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui Gempak.

Dalam pada itu, Firman berpendapat setiap individu mempunyai pandangan dan cita rasa tersendiri terhadap penyanyi kegemaran mereka.
Malah, vokalis kumpulan Hyperact itu juga menyifatkan kecaman sebagai perkara biasa yang perlu diterima oleh anak seni kerana tidak semua orang akan menyukai perkara yang sama.
“Kecaman itu ibarat makanan, kita tidak boleh paksa orang makan apa yang kita suka. Jadi bagi saya, kita tak boleh tutup mulut orang.
“Tutup lah macam mana sekali pun, mereka akan ada cara untuk buka. Benda ini mudah sahaja, dia suka dia suka, bila dia tak suka, bermakna tidak,” tegasnya.
Sekadar info, GV13 bakal menyaksikan persaingan sembilan penyanyi iaitu Vince, Zahid, Mawi, Faizal, Mila, Stacy, Shahir, Faizul dan Firman dalam usaha merebut gelaran juara di pentas berprestij itu.
Menambahkan lagi kemeriahan musim ini, GV13 bakal dikendalikan oleh trio pengacara kegemaran ramai, Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad.
Sementara itu, barisan juri masih mengekalkan tiga nama besar dalam industri muzik iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
Berlangsung selama 11 minggu, GV13 bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam.
Program itu juga boleh distrim secara On Demand menerusi aplikasi Astro GO dan Sooka.