Sekilas
- Bella Astillah pernah menjalani beberapa sesi kaunseling dengan pakar psikiatri sekitar lapan tahun lalu tanpa mendedahkan kepada umum kerana bimbang stigma negatif.
- Dia menegaskan pentingnya mendapatkan bantuan profesional untuk kesihatan mental dan menasihatkan orang ramai supaya tidak cepat menghukum mereka yang menghadapi masalah tersebut.
- Bella juga berkongsi bahawa berjumpa pakar psikiatri adalah satu bentuk usaha dan kasih sayang kepada diri sendiri, bukan tanda ketidakwarasan.
Pelakon dan penyanyi Bella Astillah mendedahkan dia pernah bertemu dengan pakar psikiatri dan menjalani beberapa sesi kaunseling sekitar lapan tahun yang lalu.
Bagaimanapun, Bella memilih untuk tidak mendedahkan perkara tersebut berikutan bimbang dengan stigma negatif mengenai masalah kesihatan mental.
“Sebenarnya tak ramai orang tahu, saya pernah melalui hari yang sangat sukar dan saya memilih untuk jumpa pakar psikiatri.
“Saya pergi ke beberapa sesi kaunseling berseorangan, setiap sesi sejam ke sejam 30 minit. Ketika itu saya tidak berkongsi dengan sesiapa mahupun di media sosial.
“Kadang-kadang orang akan cepat menghukum dan menilai. Saya tak mahu bila saya kongsi, nanti spekulasi orang akan bertambah,” katanya ketika menghadiri sebuah majlis.
Pada perkongsian itu, tunang kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq ini turut menitipkan pesanan kepada individu yang mempunyai masalah sama untuk mendapatkan bantuan segera agar isu kesihatan mental mereka dapat ditangani.
“Tapi apa sahaja yang kita buat, kita ikhtiar untuk diri sendiri. Tak semestinya bila jumpa dengan pakar psikiatri kita tidak waras. Sebenarnya kita sayang pada diri kita.
“Jangan cepat menilai dan jangan dapatkan bantuan di tempat yang salah. Bukanlah bergantung pada manusia, tapi kita sebagai manusia perlu ikhtiar dan usaha,” katanya.
Sumber: TikTok