Sekilas
- Penyanyi Aisha Retno menghadiahkan kain batik Malaysia kepada Ariana Grande dan Cynthia Erivo di tayangan perdana Wicked di Singapura, namun tindakan itu mencetuskan kecaman netizen Indonesia yang mempertikaikan penggunaan istilah 'batik'.
- Aisha menjelaskan bahawa kain batik yang diberi adalah batik tenunan Malaysia dan tidak berniat mengaku semua batik berasal dari Malaysia, malah menghargai keunikan batik dari pelbagai negara termasuk Indonesia.
- Aisha turut berkongsi kegembiraan bertemu dan menyanyi bersama Ariana Grande dan Cynthia Erivo, serta dipilih sebagai penyumbang suara watak Glinda dalam versi Bahasa Melayu filem Wicked.
Penyanyi Aisha Retno berdepan kecaman netizen Indonesia selepas menghadiahkan kain batik Malaysia kepada dua bintang Hollywood, Ariana Grande dan Cynthia Erivo ketika tayangan perdana Wicked: For Good di Singapura baru-baru ini.
Menerusi video yang dikongsi Aisha sebelum ini, dia dilihat memperkenalkan kain batik Malaysia kepada dua selebriti tersebut.
From singapore wicked movie premiere to Malaysia wicked movie premiere real quick!!!hehe❤️
Namun tindakan itu mencetuskan salah faham dalam kalangan netizen seberang.
Menjengah ke ruangan komen di akaun TikTok, ramai pengguna Indonesia mendakwa batik berasal dari negara mereka dan mempertikaikan penggunaan istilah itu oleh Aisha.
“Batik dari Indonesia ya wak, kalau mau namain bilang aja kain dari Malaysia kek.
“Batik itu dari Indo, kalo Malaysia nggak punya sebutan untuk kain yang kamu pegang tu bilang aja kain motif… ngapain sebutnya batik?,” tulis beberapa netizen Indonesia.
Namun di sebalik komen yang negatif, ada juga segelintir netizen Malaysia yang meluahkan rasa sedih melihat perbalahan yang tercetus kerana salah faham tersebut.
“Am I the only one yang sedih tengok komen? Teringat time Malaysia tolong diorang haritu… just disebabkan satu salah faham semua nak bergaduh?
“Memang… bangsa dorang tak kenang budi haha,” kata seorang pengguna.
Tidak berdiam diri, Aisha bagaimanapun tampil memberi penjelasan bagi pihaknya.
Menurut pelantun lagu Sutera itu, dia tidak berniat untuk mengakui semua batik adalah dari Malaysia, sebaliknya hanya ingin merujuk kepada kain yang diberikannya dalam video berkenaan.
“Sudah tentu, tak dinafikan saya sangat cintakan batik Indonesia kerana ibu saya memang berasal dari Indonesia.
“Tapi sebab saya mewakili Malaysia, saya pilih untuk beli dan beri batik tenunan/cantingan yang memang berasal dari Malaysia, seperti yang boleh dilihat dalam video.Harap penjelasan ini meleraikan salah faham.
“Dan tiada langsung niat untuk mengaku semua jenis batik adalah dari Malaysia. Saya hanya maksudkan batik yang saya berikan dalam video itu,” tulisnya.
Malah, Aisha turut menghargai setiap keunikan batik dari pelbagai negara dan terbuka untuk berbincang mengenainya.
“Saya terbuka nak berbincang tentang pelbagai jenis batik dari negara berbeza kerana setiap satu punya identiti dan nilai seni masing-masing.
“Indonesia memang ada corak batik yang ‘fire’ dan telah menginspirasi banyak negara untuk menghasilkan batik versi mereka sendiri.” katanya.
Sebelum ini, Aisha berkongsi rasa teruja apabila berpeluang bertemu idolanya Ariana Grande dan Cynthia Erivo, selain diberi kesempatan menyanyi bersama kedua-dua figura hebat itu sewaktu sesi pertemuan.
Aisha turut menghadiahkan kain batik Malaysia sebagai cara memperkenalkan seni budaya tempatan kepada selebriti antarabangsa.
Untuk rekod, Aisha dipilih sebagai penyumbang suara (dubber) watak Glinda dalam versi alih suara Bahasa Melayu untuk filem Wicked.