Sekilas
- Pelakon dan pempengaruh Norreen Iman mengesahkan sudah sah bercerai talak satu dengan bekas suaminya, Mohd Razzi Abd Razak di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
- Norreen menjelaskan perpisahan mereka bukan disebabkan masalah kewangan dan keputusan mahkamah diambil untuk kepastian status hubungan dari sudut agama.
- Norreen turut menafikan salah faham netizen berkaitan hantaran bekas suaminya dan kini sedang dalam fasa menerima serta mahu bahagia.
Pelakon dan pempengaruh, Norreen Iman mengesahkan sudah sah bercerai talak satu dengan bekas suaminya, Mohd Razzi Abd Razak di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, semalam.
Menurut Norreen atau nama sebenarnya Norreen Iman Abdullah, statusnya kini kembali solo selepas mahkamah mengesahkan lafaz cerai yang dibuat penghujung tahun lalu.
“Secara asasnya pagi ini kami selesaikan segalanya. Status saya sekarang memang single dan sudah bukan lagi isteri sesiapa.
“Saya juga sudah tamat tempoh iddah sebab pengesahan lafaz cerai itu sebenarnya memang dah sah jatuh talak daripada tahun lepas lagi,” katanya ketika ditemui selepas majlis malam gala filem Kata Hati di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur pada Khamis.
Tambahnya, keputusan untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah dibuat demi mendapatkan kepastian status hubungan mereka dari sudut agama.
“Kita tak nak hidup dalam keadaan tak tahu status boleh atau tak boleh. Jadi untuk elakkan sebarang masalah dari segi agama, kami rujuk mahkamah dan bila hakim dah putuskan, kami terima,” ujarnya.
Norreen bagaimanapun mengakui tetap bersedih memandangkan mereka sudah mendirikan rumah tangga hampir 12 tahun selain berkongsi banyak kenangan bersama.
“Sudah tentu saya sedih sebab kami dah lama berkahwin. Sekarang saya dalam fasa menerima dan cuma mahu bahagia,” katanya.
Dalam masa sama, Norreen turut menjelaskan mengenai salah faham netizen susulan hantaran dimuat naik bekas suaminya sebelum ini berkaitan ‘lelaki miskin’ yang mengundang spekulasi ramai.
“Saya rasa itu hanyalah hantaran motivasi diri dia sendiri. Saya ada tegur sebab bila tersalah muat naik, orang akan mula buat spekulasi.
“Orang fikir saya jahat dan dia mangsa. Sedangkan itu bukan punca sebenar perpisahan kami,” katanya.

Norreen turut menegaskan perpisahan mereka tiada kaitan dengan soal kewangan seperti didakwa sesetengah pihak.
“Kalau nak cakap pasal susah senang, saya memang susah bersama dia dulu. Saya pernah jadi budak flat, naik motor ke sana sini.
“Saya tak pernah malu pun berkahwin masa susah. Itu cuma fasa dalam hidup,” jelasnya.
Terdahulu, Norreen hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 29 April lalu bagi prosiding tuntutan pengesahan lafaz cerai namun memilih untuk tidak mengulas lanjut ketika itu.
Rumah tangga Norreen dan Razzi didakwa bergolak kerana tidak lagi berkongsi gambar dan kandungan bersama di laman.
Mereka mendirikan rumah tangga pada 2011 dan memiliki sepasang cahaya mata.