Sekilas
- Pelakon Zoey Rahman menafikan dia sudah bersara dari dunia lakonan dan menjelaskan trading patuh syariah adalah kerja tambahan yang fleksibel.
- Zoey membahagikan masa trading pada waktu pagi dan malam tanpa mengganggu rutin harian, termasuk ketika penggambaran.
- Penglibatan Zoey dalam trading dipacu oleh situasi ekonomi global yang tidak menentu, dan dia kini menjadi rakan strategik akademi Prediktable.
Pelakon Zoey Rahman menepis dakwaan kononnya dia sudah bersara daripada dunia lakonan selepas dilihat aktif dalam bidang trading atau pelaburan dalam talian patuh syariah.
Menurut Zoey atau nama sebenarnya Mohd. Hairey Azhar Abd. Rahman, bidang tersebut bukan pengganti kerjaya seni, sebaliknya satu usaha tambahan yang fleksibel dan boleh dilakukan tanpa mengganggu rutin harian.
“Kita buat trading di mana-mana dan bila-bila masa. Secara peribadi, saya bahagikan masa untuk trading waktu pagi sampai tengah hari dalam 7 pagi sampai 12 tengah hari.
“Kemudian waktu malam pukul 7 petang sampai 11 malam. Contohnya kalau waktu saya shooting, bila je trade waktu kat set (penggambaran).
“Kerja ini tidak mengganggu kehidupan normal kita. Sekarang banyak benda kita boleh buat guna telefon bimbit,” katanya.
Zoey berkata demikian ketika majlis rumah terbuka Aidilfitri Prediktable Circle di Bangi baru-baru ini.
Pada majlis sama, Zoey yang dikenali menerusi drama Friday I’m In Love turut diumumkan sebagai rakan strategik kepada akademi Prediktable yang kini memasuki tahun ketiga penubuhannya.
Mengulas lanjut, Zoey mengakui penglibatannya dalam bidang trading turut didorong oleh situasi ekonomi global yang tidak menentu ketika ini.
“Sebenarnya, antara faktor saya ceburi bidang trading adalah disebabkan macam-macam krisis dunia sekarang termasuklah perang di Timur Tengah, harga minyak naik dan sebagainya.
“Saya rasa waktu sekarang yang macam-macam benda tak menentu, saya kena buat sesuatu dan ditemukan dengan kerjaya baharu ini (trading),” katanya.
Dalam masa sama, pengasas Prediktable, Kaktie atau Hasmawatie menjelaskan bahawa trading futures yang ditawarkan berbeza daripada forex seperti yang sering disalah faham orang ramai.
“Ramai yang keliru dan menghubungi kami bertanya trade futures ni Forex ke? Jawapannya bukan. Futures trading bukan forex, kedua-duanya adalah instrumen yang berbeza,” katanya.
Tambahnya, produk futures merujuk kepada kontrak kewangan bagi urus niaga aset pada masa hadapan, termasuk komoditi seperti emas, minyak dan gas.
Seorang lagi pengasas bersama, Umair Azman pula melihat situasi ekonomi semasa sebagai ruang untuk mencari peluang baharu.
“Antara produk yang kami trade juga adalah minyak. Jadi, bila minyak naik, kita untung di situ. Di setiap krisis, ada peluang sebenarnya,” katanya.
Bagi Zoey, penglibatan dalam bidang ini bukan sekadar trend, tetapi satu langkah proaktif untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi semasa tanpa meninggalkan dunia seni yang masih menjadi keutamaannya.