Sekilas
- Harith Zazman memperlahankan kerjaya muzik selepas berkahwin dan mendapat cahaya mata untuk fokus kepada keluarga dan tanggungjawab sebagai bapa.
- Pengalaman melihat isteri mengandung dan melahirkan anak membuatkan Harith lebih menghargai peranan ibu serta perkara kecil dalam kehidupan.
- Lagu terbaharunya, "Sempurna", adalah dedikasi khas buat isteri dan anak, menggambarkan bagaimana perbezaan dalam perkahwinan membawa kepada saling memahami dan kesempurnaan.
Penyanyi, Harith Zazman mengakui sengaja memperlahankan rentak kerjayanya selepas mendirikan rumah tangga bagi memberi sepenuh perhatian kepada keluarga.
Menurut Harith, dia mengambil keputusan untuk menangguhkan penghasilan karya baharu sebaik dikurniakan cahaya mata kerana menyesuaikan diri dengan tanggungjawab sebagai seorang bapa.
“Saya mengambil masa untuk keluarkan single sebab saya berkahwin dan kemudian dikurniakan anak. Jadi saya beri ruang sebagai persediaan saya menjadi seorang bapa.
“Pada awalnya saya juga tak tahu macam mana nak imbangkan sebab kena tidurkan anak dan sebagainya. Jadi saya fokus kepada keluarga dulu, barulah kembali merakamkan lagu,” katanya kepada Gempak.
Harith turut berkongsi, pengalaman melihat sendiri pengorbanan isterinya sepanjang tempoh kehamilan dan melahirkan anak membuatkan dia lebih menghargai peranan seorang ibu.
“Melihat isteri saya mengandung sembilan bulan, melihat dia beranak, saya rasa sedih. Sebab untuk anak pertama, kita tiada ‘guide’. Jadi biarlah kami jaga dan fokus pada seorang anak saja dulu, selepas itu saya mahu dia berehat dulu.
“Anak kami sekarang sudah empat tahun, tapi sabar dulu sebab saya pun mahu tengok anak lelaki saya membesar dulu,” ujarnya.
Tambah Harith, pengalaman membesarkan anak membuatkan dirinya lebih menghargai perkara-perkara kecil dalam kehidupan.
“Kerana perjalanan itulah yang membuatkan saya menghargai semua perkara kecil. Misalnya anak suka pun boleh buat saya menangis sebab saya suka tengok perkembangan dia.
“Saya gembira melihat anak saya membesar,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Harith berkata lagu terbaharunya berjudul Sempurna merupakan dedikasi khas buat isteri tercinta, Nuramalina Ghakashah dan anak lelaki mereka.
Menurutnya, karya tersebut lahir daripada pengalaman sebenar selepas mereka mendirikan rumah tangga pada 28 Ogos 2020.
“Ya, lagu ini untuk isteri dan anak saya. Sebab perkahwinan bersama isteri saya membuktikan di mana perbezaan itu sebenarnya adalah kesempurnaan.
“Maksudnya, bila kita ada perbezaan, kita boleh betulkan masing-masing.
“Selepas berkahwin, saya sedar banyak perbezaan antara saya dan isteri. Kami datang daripada latar belakang yang berbeza dan kadang-kadang mempunyai pandangan yang bertentangan mengenai sesuatu perkara.
“Tetapi perbezaan itulah yang membuatkan kami saling belajar dan memahami antara satu sama lain. Bagi saya, itulah maksud sebenar 'sempurna',” jelasnya.