Personaliti media sosial dan sukarelawan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Haroqs memohon maaf kerana hasratnya untuk mengagihkan coklat buat anak-anak di Palestin tidak tercapai.
Haroqs menerusi video pendek yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya memaklumkan dirinya diselubungi rasa tidak tenang menerima coklat yang banyak daripada pemberi.
Advertisement
Disebabkan itu, Haroqs berkata, dia mengambil keputusan untuk mengagihkan coklat yang diterimanya kepada golongan anak yatim.
“Saya nak minta maaf, kepada yang beri coklat pada saya hari itu. Saya dah bagi coklat-coklat itu dekat anak-anak yatim.
“Sebab saya rasa mereka lebih memerlukan dan saya tak rasa tenang bila dapat coklat yang begitu banyak.
Sepatutnya coklat coklat itu kita bawa pada anak-anak Gaza tapi kita tiada rezeki nak hantar dekat sana.
“Saya cuma mampu berdoa, suatu hari nanti saya dapat bawa coklat yang banyak untuk mereka.
Buat sementara waktu ini, apa yang saya boleh buat adalah kita beri kepada mereka yang lebih memerlukan,” jelasnya.
Terima Kasih rakyat Malaysia one day kita bawak coklat banyak sama sama ke sana okay
Dalam hantaran yang sama, Haroqs juga sempat berpesan agar orang ramai terus menyuarakan tentang misi Sumud Flotilla agar bantuan dapat disalurkan kepada rakyat Palestin.
“Jangan lupa untuk terus bercakap tentang Palestin, ada ramai lagi kawan-kawan kita yang sedang berjuang. Ada ramai lagi yang dekat penjara.
“Jadi kita kena terus berdoa supaya mereka dapat dibebaskan dengan keadaan yang selamat,” ujarnya.
Terdahulu, Haroqs atau nama sebenarnya Muhammad Hareez Adzramie meluahkan rasa sedih kerana gagal membawa coklat buat rakyat Gaza.
Kegagalan itu disebabkan bot yang dinaiki Haroqs dipintas tentera Israel baru-baru ini dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ketika sedang belayar di laut Mediterranean.