Sekilas
- Beto Kusyairy menasihati penggiat seni supaya tidak mudah terpengaruh dengan populariti dan lebih fokus pada kualiti hasil kerja.
- Beliau mengingatkan bahawa populariti hanyalah ilusi dan hasil kerja yang berkualiti akan berbicara bagi pihak seseorang.
- Beto turut berkongsi kata-kata inspirasi Allahyarham Yasmin Ahmad supaya berkarya dengan jujur dan bukan semata-mata mengejar anugerah.
Pelakon, Beto Kusyairy menitipkan pesanan buat penggiat seni agar tidak mudah hanyut dengan populariti yang diraih, sebaliknya terus memberi tumpuan kepada kualiti hasil kerja.
Menerusi hantaran di Threads, Beto mengingatkan bahawa populariti atau fame syndrome hanyalah satu ilusi yang boleh melalaikan sekiranya tidak dikawal dengan baik.
"Sindrom populariti... hati-hati, jangan terperangkap. Populariti hanyalah satu ilusi, berikan tumpuan kepada hasil kerja kerana akhirnya, hasil kerja itulah yang akan berbicara bagi pihak kita," tulisnya.
Dalam hantaran sama, Beto turut berkongsi kata-kata inspirasi daripada Allahyarham Yasmin Ahmad, yang disifatkannya sebagai pegangan dalam berkarya.
"Seperti kata Allahyarham Yasmin Ahmad, 'Jangan berkarya demi mengejar anugerah. Berkaryalah dengan jujur'," tambahnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju bahawa populariti boleh datang dan pergi, namun hasil kerja yang berkualiti serta keikhlasan dalam berkarya akan terus dikenang dan dihargai sepanjang zaman.