Sekilas
- Supermodel Miranda Kerr mendedahkan dia menghidap proktitis, satu keradangan pada rektum yang memerlukan dia berhati-hati dalam memilih makanan.
- Miranda mengelakkan makanan tertentu seperti telur dan memilih protein seperti daging bison yang sesuai dengan keperluan tubuhnya, namun tidak memaksa anak-anaknya mengikuti diet yang sama.
- Dia menegaskan pengalaman pemakanannya adalah berdasarkan kesihatan peribadi dan mengingatkan pentingnya pemeriksaan perubatan serta nasihat pakar sebelum mengubah diet.
Siapa sangka, di sebalik penampilan jelita dan gaya hidup sihat yang sering dikongsikan, supermodel terkenal Miranda Kerr sebenarnya sudah bertahun-tahun berdepan masalah kesihatan yang menyakitkan.
Bekas model Victoria's Secret berusia 43 tahun itu mendedahkan dirinya pernah didiagnosis dengan proktitis, iaitu keadaan keradangan pada bahagian rektum yang boleh menyebabkan ketidakselesaan dan masalah ketika membuang air besar.
Disebabkan keadaan tersebut, Miranda perlu lebih berhati-hati dalam memilih makanan, termasuk mengelakkan telur yang sebelum ini menjadi antara makanan kegemarannya.
Miranda berkongsi mengenai masalah kesihatannya ketika ditemu bual majalah Stellar Australia baru-baru ini.
“Saya sudah menjalani ujian darah dan mengalami pelbagai masalah kesihatan selama bertahun-tahun. Saya pernah mengalami proktitis, iaitu masalah keradangan usus, jadi saya perlu benar-benar berhati-hati dengan apa yang saya makan,” katanya.
Miranda menjelaskan bahawa terdapat makanan tertentu yang boleh mencetuskan ketidakselesaan dan keradangan pada tubuhnya.
Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa keadaan tersebut tidak bermakna semua orang perlu mengamalkan pantang larang pemakanan yang sama.
“Ada makanan tertentu yang menyebabkan keradangan pada tubuh saya. Tetapi itu tidak bermakna makanan berkenaan memberikan kesan yang sama kepada semua orang.
“Contohnya, anak-anak saya masih makan telur dan itu tidak menjadi masalah,” jelasnya.
Selain telur, Miranda turut mengubah corak pemakanannya dengan memilih sumber protein tertentu seperti daging bison dan rusa yang menurutnya lebih sesuai dengan keadaan tubuhnya.
Malah, dia tidak memaksa empat orang anaknya mengikut diet yang sama kerana percaya setiap individu mempunyai keperluan pemakanan berbeza.
“Anak-anak saya tidak makan daging bison, tetapi saya memakannya kerana itulah yang sesuai dengan tubuh saya.
“Sebab itulah saya sangat menitikberatkan kesihatan. Apabila saya berada dalam keadaan terbaik, saya boleh memberikan yang terbaik sebagai seorang ibu, dalam pekerjaan dan juga sebagai seorang sahabat,” katanya.
Walaupun sudah menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut, Miranda mengakui masih merindui makanan yang terpaksa dielakkannya.
“Saya sebenarnya sangat suka makan telur. Saya rindukan telur,” luahnya.
Sebelum ini, Miranda pernah menarik perhatian apabila berkongsi rutin pemakanan yang agak ketat, termasuk mengelakkan produk tenusu, gandum dan beberapa jenis makanan lain.
Namun, dia menegaskan bahawa pemilihan makanan tersebut dibuat berdasarkan pengalaman kesihatannya sendiri dan bukan panduan yang perlu diikuti oleh semua orang.
Kisah Miranda menjadi peringatan bahawa penjagaan kesihatan bukan sekadar mengikut trend diet selebriti, sebaliknya memahami keperluan tubuh masing-masing.
Bagi individu yang mengalami masalah usus atau ketidakselesaan selepas mengambil makanan tertentu, pemeriksaan perubatan dan nasihat pakar pemakanan lebih sesuai berbanding mengamalkan pantang makanan secara sendiri.
Sumber: Stellar Australia