Sekilas
- Suami pelakon Nadia Kesuma, Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, berkongsi berita sedih pemergian isterinya di Jeddah pada 15 Januari 2026.
- Nadia Kesuma meninggal dunia akibat sakit jantung sejurus tiba di Jeddah dan jenazahnya kini berada di Hospital King Fahad.
- Dr. Kamarul memohon doa agar roh isterinya ditempatkan dalam rahmat dan keampunan Allah serta berharap mereka akan bertemu kembali di syurga.
Suami kepada pelakon Nadia Kesuma, Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, menitipkan ucapan pilu susulan berita kematian isterinya di Jeddah.
Kamarul berkongsi berita duka itu menerusi hantaran di Facebook pada awal pagi Sabtu.
“Aku bersyukur kerana dapat menghantarmu hingga ke destinasi terakhirmu. Aku akan merinduimu selalu.
“Dengan penuh rasa dukacita dan kesedihan yang mendalam, saya ingin memaklumkan pemergian isteri tercinta saya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim, yang telah kembali ke rahmatullah dengan tenang di bumi Anbiya (Jeddah) pada 15 Januari 2026, pada pukul 8.07 pagi.
“Semoga Allah mengurniakan keampunan dan rahmat-Nya ke atas rohmu… sayangku. I love you…Insya-Allah, kita akan bertemu kembali, mudah-mudahan di jannah.
“Ya Allah, daripada-Mu kami datang dan kepada-Mu jua kami kembali. Dia adalah seorang isteri yang taat, penyayang, ikhlas dan setia.
“Ya Allah, Engkau telah menjanjikan syurga kepada wanita yang mentaati suaminya dan mereka boleh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang mereka kehendaki. Sesungguhnya, dia milik-Mu ya Allah. Maka sempurnakanlah janji-Mu ke atasnya,” tulisnya.

Terdahulu, media melaporkan Nadia Kesuma dilaporkan meninggal dunia akibat sakit jantung sejurus tiba di Jeddah pada Khamis lalu.
Jenazah Nadia kini berada di Hospital King Fahad dan akan dikebumikan di Jeddah.