Sekilas
- Datuk Syafinaz Selamat meraikan ulang tahun ke-96 ibunya, Zaiton Hasan, dengan ucapan penuh kasih dan doa di Instagram.
- Syafinaz mendoakan agar ibunya dikurniakan kesihatan, ketenangan, kebahagiaan, dan umur yang diberkati sepanjang hayat.
- Syafinaz juga mengajak orang ramai untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan dan keberkatan buat ibunya, Zaiton Hasan.
Penyanyi, Datuk Syafinaz Selamat menzahirkan rasa syukur ibunya, Zaiton Hasan, yang kini genap berusia 96 tahun.
Istimewanya lagi, bersempena dengan ulang tahun kelahiran ibunya baru-baru ini, Syafinaz telah menitipkan sebuah nukilan menyentuh hati.
Menerusi perkongsian di Instagram, Syafinaz mendoakan agar ibunya terus dikurniakan kesihatan, ketenangan, kebahagiaan serta usia yang dipenuhi keberkatan.
Syafinaz juga turut mengenang segala kasih sayang, pengorbanan serta doa yang diberikan ibunya sepanjang membesarkan keluarga.
“Alhamdulillah, hari ini mak saya genap 96 tahun. Selamat ulang tahun, mak tersayang. Semoga Allah terus mengurniakan mak kesihatan, ketenangan, kebahagiaan dan umur yang penuh keberkatan.
“Terima kasih atas segala kasih sayang, pengorbanan dan doa mak selama ini. Semoga setiap kebaikan mak dibalas dengan rahmat dan pahala yang berlipat ganda.
“Di usia 96 tahun ini, keluarga besar SelTon mendoakan agar Allah sentiasa menjaga mak, melindungi mak dan mempermudahkan segala urusan mak.
“Semoga mak terus dikelilingi insan-insan yang menyayangi mak dan kami diberi kesempatan menikmati hari-hari yang indah bersama mak,” coretnya.
Tidak hanya berkongsi ucapan buat ibunya, Syafinaz juga turut mengambil kesempatan memohon orang ramai bersama-sama menitipkan doa buat Zaiton.
“Kepada semua yang membaca posting ini, saya mohon dengan penuh rendah hati, luangkan sedikit masa untuk mendoakan mak saya.
“Jika ada kesempatan, sebutlah nama mak saya (Zaiton Hasan) dalam doa kalian hari ini.
“Mohon doakan agar Allah panjangkan usia mak dalam kesihatan dan keberkatan, berikan kekuatan dan ketenangan, ampunkan segala dosa-dosanya, terima segala amal baiknya, serta limpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya kepada mak.
“Setiap doa yang kalian titipkan amat bermakna buat saya sekeluarga.
“Semoga doa-doa yang baik itu kembali juga kepada kalian dan keluarga dengan segala kebaikan daripada Allah SWT.
“Semoga Allah terus memelihara mak di setiap hari yang mendatang. I love you forever Mak,” coretnya.