Sekilas
- Sharifah Mahani bersyukur kerana bakal menantunya, Bella, setia menemani Syed Saddiq sepanjang menghadapi kes mahkamah.
- Sharifah Mahani mengakui bukan mudah untuk seseorang sanggup berkorban dan melalui detik sukar bersama Saddiq, dan Bella telah membuktikannya.
- Beliau percaya Bella layak menjadi menantunya kerana sentiasa berjuang bersama dan memberi sokongan moral serta kebahagiaan kepada Syed Saddiq.
Ibu kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq iaitu Sharifah Mahani meluahkan rasa syukur kerana anaknya dikurniakan seorang pasangan yang sanggup setia berada di sisi ketika melalui detik sukar sepanjang berdepan kes mahkamah.
Menurut Sharifah Mahani, dia melihat bakal menantunya itu sanggup melalui detik sukar dan berkorban demi anaknya.
“Apa yang saya boleh katakan, bukan mudah untuk seseorang mendampingi Saddiq. Selama ini dia perlu turun naik mahkamah.
“Saya selalu tertanya-tanya, adakah dia akan bertemu pasangan yang sanggup berkorban dan melalui semua ini bersama-sama? Alhamdulillah, Bella sanggup.
“Sebab itu apabila orang bertanya bila majlis akan diadakan, saya tidak pernah memberikan jawapan kerana hanya menunggu keputusan mahkamah hari ini. Apabila keputusan memihak kepada Saddiq, hati saya sangat gembira,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Sharifah Mahani juga menganggap Bella sememangnya layak menjadi menantunya memandangkan tunang anaknya itu benar-benar berjuang bersama.
“Insya-Allah, dengan izin Allah, mereka akan disatukan. Saya nampak Bella benar-benar berjuang bersama Saddiq. Dia bersama-sama mencari rezeki ketika Saddiq tidak mempunyai peruntukan dan sentiasa memberi kegembiraan kepada anak saya.
“Bagi saya, orang yang mampu membahagiakan anak saya itulah yang paling layak menjadi bakal menantu saya.