Sekilas
- Watak Rasyid dalam drama Ikatan Terlarang yang dimainkan oleh Alif Hadi menarik perhatian peminat dengan sikap kasar dan perubahan positif selepas mengalami kecederaan.
- Rasyid dilaporkan meninggal dunia, meninggalkan Azura dalam kesusahan dan menimbulkan persoalan tentang bagaimana dia akan teruskan hidup tanpa sokongan abangnya.
- Drama 28 episod ini disiarkan di Astro Ria dan boleh ditonton secara dalam talian melalui Astro GO dan Sooka, mengisahkan konflik keluarga dan rahsia gelap yang melibatkan Azura, suami, dan kakak iparnya.
Bagi peminat drama Ikatan Terlarang, watak Rasyid, seorang lelaki, abang, duda dan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga yang telah melalui banyak dugaan tidak terlepas daripada mencuri perhatian peminat.
Menerusi beberapa episod awal drama arahan Riza Baharudin ini, Rasyid yang dimainkan oleh Alif Hadi sempat menimbulkan rasa geram disebabkan sikap kasarnya terhadap isteri iaitu Bella lakonan Mawar Rashid kerana tekanan hidup.
Rasyid juga dibenci kerana sering menimbulkan masalah terhadap Azura (Erysha Emyra) tetapi pada masa yang sama buat peminat puas hati kerana selalu menyusahkan suami Azura iaitu, Lukman (Hisyam Hamid).
Malah ramai juga penonton yang berpuas hati pada adegan Rasyid jatuh di rumah sehingga ada yang menyangka watak tersebut akan ‘mati’ terlalu awal.
Namun, plot twist yang terjadi menyaksikan Rasyid hanya mengalami kecederaan dan sejak itu sikap protaktif terhadap Azura dan anak saudara serta ibunya berubah.
Baru sahaja peminat ingin menyukai Rasyid kerana selalu membela ibu dan menjaga Azura daripada terus dibuli Lukman, penonton kemudiannya diberi kejutan lagi.

Rasyid yang dilaporkan meninggal dunia membuatkan perjalanan hidup Azura semakin perit apabila satu lagi dugaan menimpanya selepas abang kesayangannya itu ‘pergi’ terlalu awal.
Pemergian Rasyid yang selama ini menjadi pelindung dan sentiasa setia mempertahankan Azura dalam apa juga keadaan menimbulkan persoalan bagaimana wanita tabah itu akan menjalani kehidupannya tanpa sosok seorang abang yang tidak pernah meninggalkannya dalam kesusahan.
Malah, peminat ikut bersedih mengenangkan dialog Rasyid yang antaranya meninggalkan pesanan agar Azura dapat menjaga diri dengan baik selepas dia ‘tiada lagi’.
Agak-agaknya, apa lagi yang akan berlaku terhadap Azura selepas Rasyid tiada, anaknya lumpuh dan Bella mula ‘menjalankan operasi’ yang dipendam selama ini terhadap keluarga tersebut.
Kalau nak tahu, kenalah terus setia menonton drama 28 episod terbitan iFAME (iFabulous Art, Media & Event) yang disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 10:00 malam di saluran Astro Ria (Saluran 104).
Jika terlepas, jangan bimbang kerana Ikatan Terlarang juga boleh ditonton secara dalam talian melalui aplikasi Astro GO atau sooka.
Buat Rasyid terima kasih pernah menjadi pelindung Azura dan membela ibu (Raja Azura) sepanjang ‘makan hati’ dengan sikap bapa lakonan Arash Mohamad, Lukman dan Bella.
Drama Ikatan Terlarang mengisahkan Azura yang berdepan dengan konflik apabila suaminya, curang dan menjalinkan hubungan sulit dengan kakak iparnya, Bella. Dikhianati oleh dua insan yang paling dipercayai, Azura terperangkap dalam jerat percintaan yang salah dan rahsia gelap keluarga.