Sekilas
- Ryzal Ibrahim berkongsi pengalaman sukar yang dilalui bersama isteri, Maryam Younarae, ketika berada di Korea Selatan sehingga hilang harapan untuk teruskan hidup.
- Lagu-lagu Faizal Tahir menjadi sumber kekuatan dan semangat buat Ryzal sepanjang tempoh mencabar tersebut.
- Ryzal dan Maryam kini berkeluarga dengan dua anak dan masih menganggap karya Faizal sebagai peneman harian mereka.
Personaliti media sosial, Ryzal Ibrahim mengimbau kembali fasa sukar yang pernah dilalui bersama isteri, Maryam Younarae ketika berada di Korea Selatan.
Menerusi perkongsian di media sosial, Ryzal berkata ketika itu mereka berdepan tempoh yang cukup mencabar sehingga membuatkan dirinya hilang harapan untuk meneruskan kehidupan.
Bagaimanapun, Ryzal mendedahkan lagu-lagu nyanyian penyanyi dan komposer terkenal, Faizal Tahir banyak membantu menguatkan semangatnya ketika berdepan fasa sukar tersebut.
“Buat abangku @faizal_tahir saya dengan Maryam pernah lalui hilang harapan untuk hidup ketika di Korea.
“Lagu-lagu abang ni lah yang banyak pulihkan jiwa kami disana. Terima kasih pernah menjadi sebahagian alasan untuk kami teruskan perjuangan hidup
“Ryzal pernah putus harapan, tiada kawan, tiada sokongan, tiada tempat tinggal, tapi lagu Faizal Tahir peneman setia untuk Ryzal kuatkan semangat,” kongsinya.

Dalam hantaran yang lain, Ryzal turut menyifatkan karya Faizal sebagai peneman setia sepanjang fasa tersebut dan sehingga kini masih menjadi sebahagian daripada senarai lagu hariannya.
“Starfeather is one of my daily playlist. Kalau Ingat balik, hanya mampu menangis.
“If you feel like you’ve got the weight of the world on your shoulders, look around, you're alive,” coretnya.

Coretan itu juga turut dimuat naik bersama foto merakamkan Ryzal dan Maryam menghadiri konsert solo, Faizal Tahir: Suara Rakyat di Unifi Arena pada Sabtu.
Untuk rekod, Ryzal mendirikan rumah tangga bersama Maryam yang berasal dari Korea Selatan pada 15 Ogos 2019.
Maryam bagaimanapun telah memeluk islam sebelum bernikah dengan Ryzal.
Hasil perkahwinan itu, pasangan tersebut dikurniakan dua cahaya mata iaitu Rina dan Rian.