Sekilas
- Seorang individu mencadangkan sekolah dibuka sehingga malam dan guru bekerja mengikut sistem syif untuk memudahkan ibu bapa menguruskan anak-anak.
- Individu tersebut mendakwa guru kelihatan terlalu santai dan perlu merasai pengalaman bekerja syif.
- Haiza Hanafi menolak pandangan itu, menyifatkan dakwaan guru rileks sebagai keterlaluan dan berkongsi pengalaman bapanya yang seorang guru yang bekerja keras walaupun masa bersama keluarga terhad.
Penyanyi dan penyampai radio, Haiza tampil mempertahankan golongan guru selepas seorang individu mencadangkan agar sekolah dibuka sehingga malam bagi memudahkan ibu bapa menguruskan anak-anak.
Haiza yang juga merupakan anak kepada seorang guru menyifatkan kenyataan individu berkenaan sebagai keterlaluan, khususnya apabila golongan pendidik didakwa terlalu santai dan dicadangkan supaya merasai sendiri pengalaman bekerja mengikut sistem syif.
“Janganlah buat rage bait yang macam ini. Kesianlah, hai cikgu.
“Sebagai anak cikgu, saya rasa masa abah saya sangat terhad dengan anak-anak, tapi dia tetap usaha juga memenuhi apa jua kehendak kami. Bila kata guru ‘rileks sangat’, keterlaluan,” tulisnya.
Dalam pada itu, Haiza turut menegaskan bahawa jasa dan tanggungjawab golongan pendidik wajar dihormati, lebih-lebih lagi apabila mereka memainkan peranan penting dalam mendidik generasi masa depan.
"Sebagai anak seorang guru, pendirian saya kekal,jasa dan tanggungjawab golongan pendidik wajar dihormati," tambahnya.
Terdahulu, seorang individu menyatakan pendapat waktu persekolahan yang lebih panjang dapat memberikan ruang kepada ibu bapa untuk berehat, selain mencadangkan agar guru bekerja mengikut sistem syif.
Malah, individu itu turut menyatakan bahawa ramai ibu bapa mungkin bersetuju dengan cadangan berkenaan kerana penat menguruskan anak-anak.