Sekilas
- Seorang pemain bola sepak Thailand maut selepas disambar petir ketika perlawanan Piala FA Golok di Stadium Santiphap, Narathiwat.
- Pelakon Diana Danielle berkongsi kebimbangan tentang keselamatan perlawanan bola sepak yang diteruskan walaupun cuaca buruk dan petir mengancam.
- Insiden itu turut menyebabkan seorang pemain Malaysia cedera, dan polis segera bertindak selepas menerima panggilan kecemasan.
Berita mengenai pemain kelab bola sepak Thailand maut selepas disambar petir ketika perlawanan Piala FA Golok di Stadium Santiphap, Sungai Golok, Narathiwat, Thailand, pada Selasa meraih perhatian netizen termasuklah pelakon Diana Danielle.
Menerusi hantaran di Threads, Diana mengakui insiden tragis itu membuatkan dia kembali teringat pengalaman mengikuti anaknya menyertai perlawanan bola sepak.
Menurut Diana, dia sering berasa bimbang apabila melihat perlawanan masih diteruskan walaupun cuaca sudah menunjukkan tanda-tanda hujan dan petir.
“Saya ada nampak berita yang pemain bola meninggal kena panah petir di Thailand baru-baru ini. Sejujurnya, di Malaysia kesedaran mengenai perkara itu sangat kurang.
“Apabila saya mengikuti anak main bola sepak, saya jadi gementar melihat keadaan cuaca. Mendung nak hujan, petir kedengaran di sekitar kawasan itu tapi perlawanan masih diteruskan,” kongsinya.
Pelakon berusia 34 tahun itu turut berkongsi pengalaman apabila petir pernah menyambar sebuah bangunan yang terletak berhampiran padang ketika satu perlawanan sedang berlangsung.
Katanya, situasi itu menyebabkan ibu bapa dan pemain bertempiaran lari mendapatkan perlindungan, namun dia mendakwa tiada tindakan segera diambil oleh pihak penganjur.
"Ada satu ketika di mana pernah petir panah betul-betul dekat bangunan depan padang. Bersepah ibu bapa dan anak-anak lari cari tempat perlindungan.
"Padahal dah jelas memang patut berhenti dah tapi tiada reaksi daripada pihak penganjur. Seram," ujarnya.
Terdahulu, Ketua Polis Sungai Golok, Kol. Thun Sirikhunt memaklumkan kejadian berlaku ketika hujan lebat sekitar jam 5 petang waktu tempatan apabila perlawanan diteruskan sebelum petir secara tiba-tiba menyambar bahagian tengah padang.
Dalam insiden tersebut, seorang pemain dilaporkan meninggal dunia, manakala pemain warga Malaysia, Mohamad Alif Ezzahan Zulkifli, 22, mengalami kecederaan.
Menurut beliau, pihak polis menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.30 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa berada dalam keadaan kritikal.
Sumber - Threads