Skip to main content

Berita Tempatan

International Cultural Fashion Festival 2025 Tarik Tumpuan Antarabangsa!

PRECIOUS

Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab fesyen budaya serantau apabila International Cultural Fashion Festival (ICFF) 2025 berlangsung meriah di Level 42, Menara Affin TRX, Kuala Lumpur.

Acara anjuran FM Group dengan sokongan penuh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha MOTAC, Yang Berbahagia Dato' Shaharuddin bin Abu Sohot. Festival ini menjadi sebahagian daripada Temasya 2025 Precious of Malaysia serta platform promosi awal bagi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Advertisement

Sorotan Pembukaan

Pembukaan ICFF 2025 diserikan dengan pertunjukan fesyen oleh pereka terkenal Farel Mikhail yang menampilkan 11 koleksi lelaki Elevated Batik Suit dan 4 koleksi wanita Songket Modern Dress. Rekaannya yang menggabungkan keindahan warisan tekstil Melayu dengan sentuhan moden menjadi tumpuan utama malam tersebut.

22 Pereka Serantau, 6 Institusi Fesyen

Festival ini menghimpunkan 22 pereka fesyen dari Malaysia, Brunei, Filipina dan Indonesia. Antara nama besar yang terlibat termasuk Rashid Moshi, Afiq Shazani, Boyfazly, Gil Macaibay Fashion Studio serta Munaka by Aluna.

Turut serta ialah enam institusi pendidikan fesyen ternama seperti ESMOD Kuala Lumpur, UiTM Sri Iskandar, UNITAR, UCSI, Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad dan Kolej Komuniti Selayang, memperlihatkan bakat segar generasi baharu.

Keputusan Pertandingan

Pemenang ICFF 2025 dipilih oleh panel juri berpengaruh yang terdiri daripada pengkritik fesyen Zaihani Mohd Zain, pengasas galeri seni Terimba, Redza, dan pereka fesyen Farel Mikhail.

Keputusan penuh adalah seperti berikut:

Juara: Russ Cuevas (Filipina)

Naib Juara: Jeremiah Gazo (Filipina)

Tempat Ketiga: Rashid Moshi (Malaysia)

Tempat Keempat: Munaka by Aluna (Indonesia)

ASEAN Emerging Fashion Designer: Afiq Shazani (Malaysia)

Fesyen Sebagai Pertukaran Budaya

Menurut Dato' Shaharuddin, penganjuran festival ini bukan sahaja menonjolkan keunikan fesyen serantau, malah membuka ruang kolaborasi kreatif antara negara.

“International Cultural Fashion Festival bukan sahaja mengangkat keunikan fesyen serantau, malah membuka ruang pertukaran budaya dan kolaborasi kreatif, selaras dengan visi Temasya 2025 Precious of Malaysia dan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Tentang Temasya Precious of Malaysia

Temasya 2025 Precious of Malaysia berlangsung dari 11 hingga 17 Ogos 2025 di Pavilion Damansara Heights dan Menara Affin TRX. Pelbagai acara berprestij diadakan termasuk Pameran Seni Kraf Negara, pelancaran lagu tema Precious of Malaysia, Busana Kreasi serta Gema Tari Etnik Malaysia.

Festival ini mengukuhkan aspirasi Malaysia untuk mengangkat seni, budaya, warisan dan fesyen serantau ke pentas antarabangsa, sekaligus menempatkan negara sebagai pusat fesyen budaya dunia.

Must-Watch Video