Sekilas
- Iqbal Zulkefli mendedahkan pernah ditawarkan bayaran lumayan untuk buat gimik percintaan dengan seorang selebriti wanita popular.
- Dia menolak tawaran tersebut kerana tidak mahu mempermainkan perasaan dan menjaga privasi semua pihak.
- Iqbal juga menegaskan dia tidak pernah buat gimik bercinta sepanjang berada dalam industri dan rasa sudah tidak sesuai buat perkara itu pada usia 30 tahun.
Usahawan dan pempengaruh sensasi, Iqbal Zulkefli mendedahkan pernah menerima tawaran dengan bayaran lumayan untuk melakukan gimik percintaan bersama seorang selebriti wanita popular.
Bagaimanapun, Iqbal, 30, memilih untuk menolak tawaran tersebut secara baik kerana enggan mempermainkan soal perasaan demi meraih perhatian.
“Ada yang tanyakan kepada saya, ‘Iqbal, nak tak kita buat gimik Iqbal bercinta dengan artis ini?’
“Saya tidak terkejut sebab ini bukan pertama kali. Malah dibayar bukan angka kecil.
“Cuma terkejut kerana artis wanita tersebut sangat cantik, boleh dikatakan popular. Saya menolak secara baik dan tetap menjaga privasi,” katanya menerusi perkongsian dalam media sosial.
Menurut Iqbal, dia tidak pernah melakukan gimik percintaan sepanjang berada dalam industri meskipun mengakui pernah berbalas usikan dengan individu lain.
Katanya, faktor usia juga membuatkan dia merasakan perkara sedemikian tidak lagi sesuai dilakukan.
“Saya tidak pernah lakukan gimik bercinta. Usik-mengusik itu biasalah.
“Umur saya sudah 30 tahun, semakin berusia, rasanya tidak sesuai lagi.
“Lagipun tanpa sedar jadi main perasaan orang. Kan?” ujarnya.

Dalam masa sama, Iqbal memilih untuk tidak mendedahkan identiti selebriti wanita yang dimaksudkan bagi menghormati privasi individu terbabit.
Sumber: Threads