Setelah hampir seminggu, usahawan dan personaliti media sosial, Iqbal Zulkefli berkongsi hasil pembedahan hidung yang dilakukan di Shanghai.
Menerusi perkongsian di Instagram, Iqbal meluahkan rasa syukur apabila ruang pernafasannya kembali normal selepas beberapa hari selesai pembedahan.
“Inilah hasil pembedahan hidung saya (rhinoplasty - menggunakan tulang lembut bahagian rusuk) di Shanghai.
“Beberapa hari seusai pembedahan, saya berjalan kaki ke bandar Shanghai, menitis air mata setelah saya dapat menghidu jelas setiap bau persekitaran.
“Ternyata bukan hanya struktur hidung yang bengkok sahaja diperbetulkan, ruang pernafasan saya kembali dibuka setelah bertahun tidak normal,” kongsinya.
Iqbal turut menitipkan pesanan buat individu yang ingin melakukan pembedahan melibatakn wajah perlu menggunakan khidmat pakar yang sebetulnya.
“Buat kalian yang mungkin pernah dihina rupa, tidak yakin diri dan mencari pakar aesthetic, carilah yang benar-benar pakar dalam dunia kecantikan.
“Sebelum putuskan untuk lakukan pembedahan ini, memakan tahun saya dalami setiap hospital, setiap pakar, apatah lagi kos, di serata dunia, barulah putuskan untuk lakukan di sini.
“Tak berkelip mata saya tengok wajah mereka kesemuanya cantik seperti patung,” katanya.
Dalam perkongsian yang sama juga, Iqbal memberitahu dia terbuka untuk berkongsi pengalamannya kepada sesiapa yang berminat.
