Sekilas
- Mawi berkongsi pengalamannya yang terkejut dan menangis akibat perubahan drastik selepas menjuarai Akademi Fantasia musim ketiga 21 tahun lalu.
- Walaupun tiada media sosial ketika itu, peminat Mawi sangat fanatik sehingga ada yang mencuri barang dari rumahnya dan menghasilkan produk berjenama Mawi.
- Mawi juga pernah menerima ugutan bunuh dan mengakui fasa tersebut mengajarnya untuk menerima realiti kehidupan selebriti sebelum akhirnya menemui ketenangan selepas berkahwin.
Penyanyi dan juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) iaitu Mawi mengakui kehidupannya berubah selepas menjuarai program tersebut 21 tahun yang lalu sehingga mengambil masa untuk menyesuaikan diri.
Ujar pemilik nama Asmawi Ani ini, keadaan itu membuatkan dirinya terkejut sehingga kerap menangis kerana perubahan tersebut berlaku dalam keadaan yang sangat pantas.
“Sepanjang dalam AF saya tak tahu apa yang berlaku di luar tapi selepas tiga bulan keluar terasa macam, ‘Eh kenapa jadi macam ini ya? Kenapa dunia aku begini?’. Dia terlalu drastik sebenarnya.
“Jadi bila nak menerima segalanya terasa macam hidup ini berada di bulan. Menangis hari-hari sebab dia macam kejutan budaya.
“Saya memang betul-betul terkejut. Tapi makin lama saya boleh terima,” katanya kepada Gempak.
Berkongsi mengenai peminatnya yang boleh dikatakan agak fanatik ketika itu, pelantun lagu Kian ini mengakui keadaan ketika itu sangat luar biasa meskipun tiadanya media sosial.
“Meskipun belum ada media sosial waktu itu tapi ‘feel’ fanatik itu tetap luar biasa. Ada yang sampai bawa lari barang-barang dari rumah saya. Ada juga sampai tahap bawa balik tong gas, pasu bunga dan tudung saji rumah mak saya.
“Buat baju pun jangan cakap sebab perkara biasa. Yang mungkin luar biasa sikit adalah orang buat burger, tudung dan juga minyak urut jenama Mawi,” kongsinya.
Malah, Mawi mendakwa dia juga pernah berdepan ugutan termasuk ancaman bunuh melalui surat layang yang diterimanya.
“Saya dapat banyak juga surat layang sebab mungkin ramai yang suka tapi dalam masa yang sama sebenarnya ramai juga tak suka kita.
“Mungkin tak boleh tengok kita berjaya, nak jatuhkan kita. Ada juga yang ugut nak bunuh,” tambahnya.
Menurut Mawi, fasa tersebut akhirnya mengajarnya untuk memahami realiti kehidupan sebagai seorang selebriti apabila semakin dikenali ramai.
“Saya selalu doa. Saya minta nak hidup saya kembali normal. Hari-hari sebenarnya doa. Saya tak nak hidup macam ini, saya nak hidup normal. Hari-hari saya doa begitu.
“Selepas empat tahun saya dapat ketenangan itu. Boleh dikatakan selepas saya kahwin saya rasa (ketenangan). Secara perlahan-lahan hidup saya normal,” tambahnya.
Untuk rekod, Mawi merupakan juara bagi program AF3 yang bersiaran pada tahun 2005.