Sekilas
- Jurusolek Austouxh atau Aus berasa syukur dan sebak kerana diberi peluang untuk solekkan wajah rakan baiknya, Bella Astillah, pada hari pernikahan pelakon itu.
- Aus menganggap persahabatan mereka sebagai satu anugerah dan menghargai detik istimewa tersebut yang akan sentiasa diingati.
- Bella Astillah dan Syed Saddiq telah sah bergelar suami isteri dalam majlis tertutup di Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur.
Jurusolek yang dikenali sebagai Austouxh atau Aus meluahkan rasa syukur apabila diberi peluang untuk solekkan wajah rakan baiknya yang juga Bella Astillah di hari pernikahan pelakon dan penyanyi pada Sabtu pagi.
Menerusi hantaran di Threads, Aus turut berasa sebak apabila Bella masih memilihnya untuk menata rias wajah pada hari yang cukup bermakna dalam kehidupan sahabatnya itu.
Menurut Aus, peluang berada di sisi Bella pada hari bahagia tersebut merupakan satu kenangan berharga yang akan sentiasa disimpan dalam ingatannya.
“Akhirnya, saya dapat solekkan kawan baik saya, Bella Astillah untuk hari pernikahannya. 🤍🥹 Entah kenapa, rasa sebak sangat bila sampai ke hari bahagia Bella, dia masih pilih saya untuk solekkannya.
“Dapat berada di sisi awak pada salah satu hari paling bermakna dalam hidupn awak adalah sesuatu yang akan sentiasa saya hargai. Bella, terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk sesuatu yang begitu istimewa ini,” kongsi Aus.
Menyifatkan persahabatan mereka sebagai satu anugerah, Aus juga mengakui emosinya bercampur-baur apabila dapat menjadi sebahagian daripada detik istimewa Bella.
“Menjadi sahabat awak sudah pun satu rahmat, namun dapat menjadi sebahagian daripada detik indah dalam hidup awak ini membawa makna yang jauh lebih mendalam daripada apa yang mampu diungkapkan dengan kata-kata.
“Saya sangat gembira untuk awak, namun pada masa yang sama, saya turut berasa sebak. Mungkin ada saat-saat yang menyentuh perasaan dengan cara yang berbeza apabila ia melibatkan seseorang yang benar-benar kita sayangi.
“Hari ini, saya bukan sekadar solek wajah awak sebagai seorang jurusolek. Saya melakukannya sebagai sahabat baik awak, dengan penuh rasa kasih sayang di hati. 🤍,” katanya lagi.
Untuk info, Bella dah Syed Saddiq selamat bergelar suami isteri dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis tertutup yang berlangsung di Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur.