Sekilas
- Areef Amran mengakui watak Dr. Zack dalam drama Menantu Tanpa Reda bukan lelaki sempurna, penuh konflik dan masih belajar menjadi matang.
- Dia mendapatkan bimbingan guru lakonan dan berusaha memberikan persembahan terbaik bersama pelakon berpengalaman lain.
- Babak dengan watak Suzila dan konflik dengan Pak Manap antara yang paling menarik dalam drama yang disiarkan di Astro Prima.
Pelakon Areef Amran mengakui watak Dr. Zack yang dibawakannya dalam drama bersiri Menantu Tanpa Reda bukanlah seorang lelaki sempurna, sebaliknya mempunyai pelbagai kelemahan terutama dalam soal cinta, keluarga dan tanggungjawab.
Menurut Areef, meskipun Dr. Zack pada awalnya digambarkan sebagai seorang lelaki yang ceria dan bersahaja, karakter tersebut sebenarnya menyimpan pelbagai konflik dalaman sehingga sering membuat keputusan yang mengecewakan orang di sekelilingnya.
“Pada awalnya, kita nampak Zack seorang yang happy-go-lucky, sempoi dan suka bermain-main. Tetapi apabila cerita semakin berkembang, kita mula nampak sisi lain dirinya.
“Dia juga ada masalah, ego dan dan tidak arif hukum hakam agama tentang perkahwinan dan poligami.
“Sebab itu saya cuba membawakan karakter Zack bukan sekadar watak yang dibenci, tetapi seseorang yang penonton boleh faham mengapa dia menjadi begitu, walaupun tidak semestinya bersetuju dengan tindakannya,” katanya.
Mengulas lanjut, Areef menyifatkan Dr. Zack sebagai seorang lelaki yang masih bergelut dengan proses kematangan diri, lebih-lebih lagi apabila terpaksa berdepan situasi menjadi suami kepada dua wanita dalam sekelip mata.
Malah, di sebalik sikapnya yang kelihatan berani, Dr. Zack sebenarnya takut mengecewakan ibu dan keluarganya.
“Setiap orang mesti ada perkara yang ditakutkan, tidak kira sehebat mana sekalipun seseorang itu.
“Macam Zack, walaupun luarannya nampak berani, sebenarnya dia sangat takut untuk mengecewakan mama dan keluarganya.
“Dalam masa yang sama, dia banyak membuat keputusan melulu.
“Pada saya, Zack sebenarnya masih belajar untuk menjadi lebih matang. Mungkin betullah orang kata lelaki ini lambat matang sedikit,” katanya berseloroh.
Dalam pada itu, Areef turut berkongsi bahawa dia mendapatkan bimbingan guru lakonan sebagai persediaan untuk menjayakan karakter berkenaan.
Katanya, peluang bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Amar Bahrin, Aliza Shahdan, Sweet Qismina, Hanna Aqeela dan Yana Samsudin mendorongnya untuk memberikan persembahan terbaik.
“Apabila mendapat peluang berlakon dengan pelakon-pelakon yang hebat dan berpengalaman, sudah tentu saya sendiri perlu membuat persediaan lebih.
“Antara yang saya lakukan termasuk berjumpa guru lakonan, mengkaji karakter daripada filem dan cuba memahami watak yang dibawakan dengan sebaik mungkin.
“Bagi saya, apabila bekerja dengan orang-orang hebat, kita juga perlu berusaha untuk menjadi lebih baik.
“Paling penting, saya tidak mahu kehadiran saya di set menyusahkan kerja orang lain. Saya mahu semua orang selesa bekerja dan proses penggambaran berjalan lancar,” katanya.
Bercerita mengenai pengalaman sepanjang penggambaran, Areef mengakui babak bersama watak Suzila antara yang paling meninggalkan kenangan buatnya.
Malah, panggilan manja 'isteri kecilku' yang digunakan Dr. Zack terhadap Suzila turut menjadi kebiasaan dalam kalangan kru produksi.
“Antara babak yang paling saya ingat tentulah babak dengan isteri kecilku.
“Hubungan Zack dan Suzila ini ada kecomelannya yang tersendiri. Keserasian mereka agak unik. Ada masa romantis, ada masa suka menyakat dan kadangkala mencuit hati juga.
“Sampai satu tahap, bukan Zack sahaja yang memanggil Suzila ‘isteri kecilku’, malah satu set penggambaran pun sudah terbiasa dengan panggilan itu,” ceritanya.
Bagaimanapun, hubungan pasangan berkenaan bakal berdepan pelbagai dugaan termasuk kehadiran Melissa, wanita pilihan ibu Dr. Zack, serta masalah kesihatan serius yang dialami Suzila akibat kanser tulang.
Areef turut mengakui konflik Dr. Zack dengan Pak Manap antara babak menarik, terutama apabila karakter tersebut sering berdepan senapang setiap kali bertemu bapa mentuanya.
“Antara konflik paling menarik bagi saya ialah apabila Zack perlu berdepan dengan Pak Manap.
“Sebab setiap kali berjumpa Pak Manap, mesti ada senapang di depan muka,” katanya sambil ketawa.
Mengakhiri bicara, Areef sempat berpesan kepada penonton agar tidak terlalu mudah mempercayai Dr. Zack meskipun karakter itu mempunyai sisi yang boleh difahami.
“Satu lagi, jangan percaya sangat dengan Zack ini. Nanti korang yang sakit hati!” katanya.
Untuk rekod, drama Menantu Tanpa Reda arahan Uchee Fukada dan Ejump Mohd bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 malam di Astro Prima dan boleh ditonton menerusi Astro serta aplikasi sooka.