Sekilas
- Raja Azrey akan mengarahkan iklan raya pertama OatLife berjudul Syurga Yang Terhiris yang mengangkat kisah emosi hubungan ibu dan anak, akan ditayangkan pada 1 Mac 2026 di YouTube OatLife Malaysia.
- Iklan ini menonjolkan konflik psikologi seorang ibu yang memendam perasaan akibat kesilapan anaknya, dengan lakonan Shahriza Mahmud dan Fendy Bakry.
- Selain itu, Raja Azrey juga sedang menyiapkan iklan raya komedi Ketupat Keras, yang menampilkan pelakon seperti Man Raja Lawak dan Puspa Gomen.
Pengarah dan pelakon, Raja Azrey bakal menghadiahkan penonton sebuah iklan raya sarat emosi berjudul Syurga Yang Terhiris, terbitan OatLife. Naskhah tersebut dijadualkan menemui penonton pada 1 Mac 2026 menerusi platform YouTube OatLife Malaysia, iaitu seminggu selepas umat Islam memulakan ibadah puasa.
Menariknya, karya ini merupakan iklan raya pertama yang diterbitkan oleh OatLife, dan Raja Azrey diberikan tanggungjawab sepenuhnya sebagai penulis serta pengarah.
Syurga Yang Terhiris mengangkat kisah hubungan seorang ibu dan anak yang sarat dengan konflik emosi. Watak ibu dilakonkan dengan penuh penghayatan oleh Shahriza Mahmud, manakala anaknya dibawakan oleh Fendy Bakry. Turut membintangi iklan ini ialah Sathiya dan Puspa Gomen.
Walaupun premisnya kelihatan seperti kisah kekeluargaan yang sering dipaparkan menjelang Aidilfitri, Raja Azrey menegaskan pendekatan yang dibawakan lebih mendalam dan menyentuh aspek psikologi seorang ibu.
“Saya cuba bawa satu sudut pandang tentang bagaimana hati seorang ibu boleh terluka tanpa kita sedari. Seorang ibu mungkin tidak marah, tetapi dia memendam perasaan dan itu sebenarnya jauh lebih pedih,” katanya.

Dalam cerita ini, watak anak digambarkan sebagai seorang yang sering melakukan kesilapan sehingga tanpa sedar telah menggores hati ibunya. Akibat konflik tersebut, si anak membawa diri meninggalkan kampung halaman selama lima tahun.
Sepanjang tempoh itu, berlaku satu kejadian tragis apabila si ibu terlibat dalam kemalangan. Lebih memilukan, kecederaan tersebut berlaku ketika ibu cuba mengejar anaknya yang pergi meninggalkannya. Namun hakikat itu tidak pernah diketahui oleh si anak.
Hanya selepas berjaya di perantauan dan kembali semula, barulah kebenaran terbongkar.
“Cerita ini lebih kepada peringatan. Jangan sampai kita usik hati ibu kita. Walaupun dia diam, luka itu tetap ada,” jelasnya.
Menurut Raja Azrey lagi, kebanyakan karya bertemakan Raya lazimnya memfokuskan kepada figura ibu dan bapa secara seimbang. Namun kali ini, beliau memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada watak ibu.
“Banyak perkara yang kita buat dengan ibu tanpa sedar. Jadi cerita ini saya jadikan sebagai pengajaran, selari dengan apa yang diinginkan oleh pihak OatLife sendiri,” katanya.
Untuk musim perayaan tahun ini, Syurga Yang Terhiris menjadi antara iklan raya ke-9 atau ke-10 yang pernah diarahkan oleh beliau sepanjang penglibatan dalam industri kreatif.
Dalam masa sama, Raja Azrey turut sibuk menyiapkan sebuah lagi iklan raya berbentuk komedi berjudul Ketupat Keras, terbitan Berkat Padi Sdn Bhd dari Sungai Besar. Berbeza dengan naskhah emosi sebelum ini, Ketupat Keras tampil dengan pendekatan santai dan humor tanpa elemen kesedihan. Antara pelakon yang terlibat ialah Man Raja Lawak, Puspa Gomen serta Riez Radzi, dan kini berada dalam fasa suntingan.
“Setakat ini, saya hanya terlibat dengan dua iklan raya sahaja. Saya tak ambil terlalu banyak kerana ada komitmen lain,” jelasnya.

Walaupun jadualnya padat dengan penggambaran drama, projek iklan dan pementasan teater, Raja Azrey tetap memilih tawaran yang bersesuaian dengan minat dan komitmen masa.
Beliau sebelum ini baru sahaja menamatkan pementasan teater Persidangan Hantu di Melaka dan merancang untuk kembali aktif dalam dunia teater selepas Aidilfitri, termasuk sebuah karya berkonsepkan sejarah yang masih dalam peringkat awal perancangan.
“Saya masih bergerak sepanjang bulan puasa selagi belum hari raya. Shooting iklan raya biasanya singkat, satu atau dua hari sahaja,” katanya sambil memaklumkan baki masa akan diperuntukkan bersama keluarga.
Dengan naratif yang menyentuh soal hubungan anak dan ibu serta pendekatan penceritaan yang jujur, Syurga Yang Terhiris dijangka menjadi antara karya raya yang meninggalkan kesan mendalam kepada penonton tahun ini.