Sekilas
- Pelakon Janna Nick berkongsi momen bertemu semula dengan sahabat baiknya, Azar Azmi, yang lama menghilang dari dunia seni.
- Janna berharap Azar tidak lagi menghadapi detik sukar dan dapat terus aktif dalam industri hiburan selepas pulang ke Malaysia menunaikan janji mereka.
- Azar sebelum ini terlibat dalam siasatan kes penipuan dan menjauhkan diri dari seni atas permintaan keluarga mentua.
Pelakon Janna Nick menyorot perhatian apabila berkongsi momen dirinya yang berpeluang berjumpa semula sahabat baik yang juga pelakon, Azar Azmi selepas sekian lama menghilangkan diri daripada dunia seni.
Menerusi perkongsian video di TikTok, pemilik nama Nurul Jannah Muner ini memaklumkan dia memilih untuk menahan perasaan supaya menyentuh sebarang isu sensitif melibatkan Azar kerana sudah lama dia menantikan momen tersebut.
“Hari ini saya nak jumpa dengan kawan yang lama menghilang.
“Geram, aku nak marah sebenarnya. Aku tak nak menangis. Aku tak nak tanya kau apa-apa, harini kita makan saja,” katanya.
Dalam masa yang sama, pelakon filem Kimchi Untuk Awak ini meluahkan rasa syukur kerana menunaikan janjinya untuk pulang ke Malaysia bagi bertemu Azar.
Janna juga berharap agar sahabat baiknya itu tidak lagi berdepan detik hitam dan tidak lagi menghilangkan diri dari dunia hiburan.
“Aku dah tunaikan janji aku untuk balik jumpa kau, jadi kau kena tunaikan janji kau juga.
“Aku taknak kau lalu jalan yang sama lagi, jalan tu tak seronok kita cari jalan lain.
Semoga Allah limpahkan rezeki kau bagi peluang yang best untuk kau,” kongsinya.
“Saya tahu dia penat dengan semuanya tapi dia tetap kuat semangat demi anak-anak.
“Semoga Allah permudahkan urusan kau (Azar). Janji, jangan lari dan hilang lagi. Sayang kau,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, nama Azar kembali menjadi perhatian susulan penahanannya bagi membantu siasatan kes penipuan berkaitan urusan penjualan tanah.
Azar telah direman selama tiga hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, Negeri Sembilan bagi membantu siasaran sebelum dibebaskan dan kemudian dijadikan saksi pendakwaan dalam kes melibatkan suaminya.
Azar kemudiannya menjelaskan bahawa keputusannya menjauhkan diri daripada industri seni adalah sebagai menghormati permintaan keluarga mentua yang tidak menggalakkannya terus aktif dalam dunia hiburan.
Sumber: TikTok