Sekilas
- Janna Nick meluahkan simpati terhadap Khairul Aming yang dikaitkan dengan sentimen kapitalis walaupun kejayaannya hasil pengorbanan besar dan usaha keras.
- Janna menasihati orang ramai supaya tidak mematahkan semangat orang lain dan menjadi 'joy killer' dalam usaha mereka mencapai kejayaan.
- Khairul Aming menegaskan perniagaannya memberi manfaat kepada ramai pihak termasuk pekerja, pembekal, dan pelanggan, bukan hanya dirinya sahaja.
Pelakon, Janna Nick meluahkan rasa simpati terhadap pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming selepas ada individu mengaitkan usaha perniagaannya dengan sentimen kapitalis.
Menerusi ciapan di Threads, Janna atau nama lengkapnya Nurul Jannah Muner berpendapat kejayaan yang dikecapi Khairul Aming tidak datang dengan mudah sebaliknya banyak pengorbanan di belakang tabir yang dilakukan.
“Simpati tengok KA (Khairul Aming) sedih sebab orang cakap dia kapitalis.
“Yang kita nampak RM4 juta dalam beberapa jam tu ja, tapi tak tahu dan tak faham macam mana dia usaha untuk sampai tahap tu.
“Belum kira staff, overhead costs dan macam-macam benda dia kena tanggung (bukan sikit dan bukan boleh terus give up kalau PENAT),” tulisnya.
Dalam masa yang sama, Janna menitipkan pesan kepada orang ramai untuk tidak sesekali mematahkan semangat orang lain dan menjadi ‘joy killer’.
“Kita ni, kalau tak mampu nak usaha sampai berjaya, janganlah pula kita mematikan semangat & usaha orang lain,” ujarnya.
Di akhir perkongsian, Janna berharap Khairul Aming tidak terlalu memikirkan perkara tersebut sebaliknya terus melangkah jauh ke hadapan.
“Kepada KA, abaikan semua perkara negatif itu.
“Ramai lagi yang terinspirasi dan bangga dengan KA, terus maju jaya,” tambahnya.
Sebelum ini, Khairul Aming turut meluahkan rasa terkilan selepas ada individu mengaitkan usaha perniagaannya dengan sentimen kapitalis.
Dia bagaimanapun menegaskan hasil sesebuah perniagaan bukan hanya dinikmati pemilik, sebaliknya turut memberi manfaat kepada pekerja, pembekal, vendor, penghantar, pelanggan selain menyumbang kepada cukai dan zakat.
Sumber: Threads