Skip to main content

Hiburan

Jazmin Harumkan Nama Malaysia Di Hong Kong! Jadi Atlet India Pertama Menang Emas Wushu Peringkat Dunia

cvcv

Atlet wushu negara, Jazmin mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai satu-satunya atlet wanita India Malaysia yang berjaya meraih pingat emas dalam pertandingan wushu peringkat antarabangsa.

Memetik laporan WeirdKaya, kejayaan luar biasa atlet berusia 19 tahun itu bukan sekadar pencapaian sukan, sebaliknya menjadi simbol ketabahan, kecekalan dan keberanian untuk terus melangkah walaupun sering dipandang rendah.

Jazmin yang berasal dari Negeri Sembilan berkata, penglibatannya dalam sukan wushu bermula sejak kecil hasil pengaruh keluarga, selain minat mendalam terhadap aktiviti fizikal.

“Saya seorang yang memang aktif sejak kecil. Sukan adalah sebahagian daripada rutin hidup saya. Daripada pelbagai aktiviti yang saya cuba, wushu akhirnya menjadi sesuatu yang saya seriuskan.

“Pada awalnya, saya cuba wushu kerana cadangan abang saya. Tetapi selepas berlatih beberapa ketika, saya sedar saya benar-benar menikmatinya,” katanya.

Menurut Jazmin, disiplin tinggi dalam wushu termasuk menguasai pergerakan, menjaga kecergasan fizikal dan latihan berterusan sangat serasi dengan keperibadiannya.

Seawal usia tujuh tahun, dia sudah mewakili Negeri Sembilan dalam pertandingan wushu, sekali gus memulakan perjalanan kompetitif yang menjangkau lebih sedekad.

‘Saya selalu rasa tersisih’

Namun, perjalanan Jazmin bukan tanpa cabaran. Sebagai satu-satunya atlet wanita berbangsa India dalam sukan yang didominasi atlet Cina, dia sering berdepan perasaan terasing.

“Menjadi berbeza mungkin tidak selalu diluahkan secara terbuka, tetapi saya merasakannya. Saya mungkin tidak menepati imej tipikal sukan ini, tetapi saya ada sesuatu yang lebih besar semangat, keinginan dan tujuan.

“Dengan setiap langkah, saya belajar bahawa juara sebenar bukan mengikut imej, tetapi mencipta imej mereka sendiri,” ujarnya.

Tambah Jazmin, dia terpaksa membina motivasi sendiri kerana persekitaran tidak selalu memberi sokongan yang diharapkan.

“Saya beri motivasi kepada diri sendiri kerana persekitaran tidak melakukannya,” katanya.

Ketika tekanan latihan dan jangkaan semakin tinggi, Jazmin mengakui ada masa dia hampir berputus asa, namun sokongan keluarga menjadi kekuatan utama.

“Keluarga saya sentiasa ada. Bila saya tertekan atau ragu-ragu, merekalah yang ingatkan saya kenapa saya bermula. Mereka sokong saya tanpa syarat,” katanya.

Puncak kejayaan di pentas antarabangsa

Hasil latihan bertahun-tahun akhirnya membuahkan hasil apabila Jazmin berpeluang bertanding di peringkat antarabangsa, termasuk kejohanan di Hong Kong yang menyaksikan dia meraih pingat emas.

Selain itu, dia turut mewakili Malaysia di Kejohanan Dunia Kung Fu ke-9, sekali gus membuka peluang beraksi bersama atlet bertaraf dunia.

Bagi Jazmin, pingat bukan ukuran mutlak kejayaan.

“Pingat itu penting, tetapi ia adalah hasil disiplin, bukan matlamat utama,” katanya.

Inspirasi buat mereka yang rasa tersisih

Mengulas lanjut, Jazmin berharap kisahnya dapat menjadi sumber inspirasi kepada individu yang sering merasakan diri mereka berbeza atau dipandang rendah.

“Menjadi berbeza bukan satu kekurangan. Selagi kita percaya pada diri sendiri. Akhirnya, kita tidak boleh bergantung kepada orang lain untuk memberi motivasi. Kita perlu teruskan perjalanan sendiri,” katanya.

Kisah Jazmin membuktikan bahawa kejayaan tidak semestinya bermula dengan penerimaan, sebaliknya lahir daripada ketekunan dan keberanian untuk terus melangkah ke hadapan.

Sumber: Weird Kaya

Must-Watch Video

Advertisement