Sekilas
- Jimmy Couture menegaskan pelanggan yang menyewa gaun perlu memulangkan pakaian dalam keadaan terhormat dan bermaruah.
- Setiap gaun disediakan dengan kemas menggunakan beg dan penyangkut khas untuk mengekalkan struktur dan berat busana.
- Walaupun gaun disewa, hak milik tetap milik pereka dan pelanggan diminta menghargai serta menjaga barangan tersebut dengan baik.
Pereka fesyen terkenal, Jimmy Couture, memberikan teguran serta nasihat secara terbuka kepada semua pelanggan yang menyewa gaun rekaannya supaya menjadi lebih bertanggungjawab dan menghormati barangan yang dipinjam.
Menurut Jimmy, penyewaan gaun bukan sekadar urusan pinjam dan pakai, sebaliknya melibatkan amanah serta nilai yang perlu dijaga bersama.
“Terpaksa sepak up pasal perkara yang satu ini. Tak kisah untuk semua customer, queen atau sesiapa yang berkenaan.
“Kalau dah sewa gown, tolong pulangkan dengan keadaan yang terhormat dan bermaruah,” tegasnya menerusi hantaran di Instagram.
Tambah Jimmy lagi, setiap gaun juga telah diberikan dalam keadaan kemas selain digantung menggunakan bag dan penyangkut khas yang direka untuk menampung berat serta struktur busana tersebut.
Disebabkan itu, Jimmy mengingatkan bahawa walaupun gaun itu disewa, hak milik tetap milik pereka dan wajar dihargai sepenuhnya.
“Macam mana Jimmy pack letak dalam germent serta hanger dan tergantung cantik, sila pulangkan dalam keadaan yang sama.
“Sebab? Sebab itu bermodal, hanger pun bukan hanger biasa kita bagi. Siap ada shoulder supaya apa? Supaya nampak gown elok.
“Dan jangan tukar hanger biasa! Gown Jimmy berat! Ingat ya kamu sewa baju bermakna masih hak milik orang. Sila hargai,” tegasnya.