Sekilas
- Josiah Hogan menjelaskan watak SAC Kamal dalam filem Takluk 2: Op Daulat lebih fokus kepada penyiasatan berbanding rundingan seperti dalam filem pertama.
- Walaupun tiada adegan aksi berat, Josiah menegaskan penjiwaan watak tetap penting untuk menggambarkan situasi ancaman dengan realistik.
- Filem Takluk 2: Op Daulat adalah kesinambungan filem Takluk: Lahad Datu yang diilhamkan daripada pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.
Pelakon Josiah Hogan mendedahkan watak SAC Kamal yang dibawakan dalam filem Takluk 2: Op Daulat lebih tertumpu kepada penyiasatan berbanding rundingan seperti dalam naskhah pertama.
Menurut Josiah, karakter tersebut masih dikekalkan, namun tugasnya berkembang seiring perjalanan cerita yang kini memasuki fasa operasi.
“Tak ada perbezaan. Masih lagi watak yang sama. Yang beza cuma rambut dah makin putih.
“Cuma kali ini rundingan dah tak ada, jadi dah masuk operasi sepenuhnya,” katanya berseloroh.
Josiah berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis pelancaran lembut filem berkenaan di Kementerian Pertahanan (MINDEF), baru-baru ini.
Mengulas cabaran lakonan, Josiah mengakui babak rundingan dengan watak Raja Iskandar dalam filem pertama lebih menguji kebolehannya.
Katanya, adegan tersebut memerlukan penjiwaan bagi memperlihatkan kebimbangan seorang pegawai terhadap kemungkinan tercetusnya peperangan sekiranya rundingan gagal.
“Untuk naskhah pertama, cabarannya mungkin dari segi perundingan dengan Raja Iskandar. Yang ini lebih kepada penyiasatan.
“Yang lebih mencabar itu filem pertama sebab kita nak pastikan apabila berunding, ia nampak nyata. Kita risau Kita risau kalau apa-apa berlaku, akan berlakunya perang.
“Jadi yang ini alhamdulillah, mungkin santai sedikit,” ujarnya.
Ditanya sama ada terbabit dalam adegan aksi berat, Josiah menjelaskan tugas wataknya lebih banyak berlangsung di pejabat.
“Tak, sebab pegawai saya duduk kat pejabat, jadi dalam pendingin hawa,” selorohnya.
Bagaimanapun, Josiah menegaskan ketiadaan aksi fizikal berat tidak bermakna penjiwaan watak boleh dipandang ringan.
Menurutnya, dia tetap perlu membayangkan keadaan sebenar ketika berdepan ancaman pihak luar supaya emosi serta tindak balas watak sampai kepada penonton.
“Dalam keadaan diserang orang luar, kita kena pastikan ia nampak betul-betul nyata. Tak boleh sekadar hafal dialog.
“Kena bayangkan kita memang ada dalam situasi itu. Nak cakap senang pun tidak sebab perkara itu tidak berlaku ketika penggambaran.
“Jadi, kita kena tarik momen itu. Tak boleh dinafikan, itu antara perkara yang susah,” jelasnya.
Untuk rekod, Takluk 2: Op Daulat merupakan kesinambungan filem Takluk: Lahad Datu yang diinspirasikan daripada peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.
Filem arahan Zulkarnain Azhar itu turut menampilkan Syafiq Kyle, Datuk Remy Ishak, Kamal Adli, Datuk Eman Manan, Fadlan Hazim, Nas-T, Luqman Hafidz, Taufiq Hanafi dan Sara Ali.