Sekilas
- Che Puan Juliana Evans berkongsi kisah di sebalik nama yang diberi, diinspirasikan daripada minat ibunya terhadap pelakon Julia Rais dan model Puteri Juliana dari Denmark.
- Juliana mendedahkan reaksi ibunya yang tidak menyokong persahabatan awalnya dengan suami, Tengku Shariffuddin Shah, kerana perbezaan darjat.
- Perkongsian itu dibuat sebagai jawapan kepada persoalan tentang trend ibu bapa Melayu memilih nama yang kedengaran kebaratan dan penggunaan ejaan moden dengan huruf vokal tambahan.
Pelakon, Che Puan Juliana Evans berkongsi kisah di sebalik pemilihan namanya selain mendedahkan reaksi ibunya ketika mengetahui mengenai pertemuan pertamanya dengan suami, Tengku Shariffuddin Shah.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Juliana berkata, namanya diberikan sempena minat ibunya terhadap pelakon, Julia Rais dan bekas model terkenal, Puteri Juliana dari Denmark.
Manakala mengenai pertemuan pertama dengan suami yang ketika itu hanya dianggap sebagai seorang kawan pula, Juliana mengakui dia tidak menyangka ibunya memberikan reaksi cukup mengejutkan dengan memintanya supaya tidak meneruskan persahabatan tersebut.
“Saya diberi nama sempena minat ibu terhadap Julia Rais dan Puteri Juliana dari Denmark tetapi bila saya beritahu ibu mengenai pertemuan pertama saya dengan suami (masa itu kawan lagi), dia cakap apa tau?
“‘Toksah lah berkawan dengan dia. Darjat kita jauh beza sangat' then saya macam okay saya sedar. Tapi jodoh tak ke mana,” kongsinya.

Untuk info, perkongsian itu dibuat sebagai jawapan kepada persoalan seorang individu yang mempersoalkan kecenderungan sesetengah ibu bapa Melayu memberikan nama yang kedengaran kebaratan kepada anak.
Selain itu, individu berkenaan juga turut mempersoalkan penggunaan nama panjang serta ejaan yang mempunyai huruf vokal tambahan seperti ‘Faaris’ dan ‘Aaliaa’ yang dianggap sebagai lambang kemodenan.

“Dulu kalau budak melayu nama ala-ala mat saleh ni either dia anak orang kaya atau parent dia mix-race.
“Now tengok muka melayu asli tapi nama Aaron Isacc Alexander Moebius Ferdhaus. Mak bapa pun muka jawa asli tapi nama anak beria nak omputih.
“Belum bab unnecessary extra vowel macam Faaris or Aaliaa hahahahahah. Nak tunjuk terpaling moden ker,” tulisnya.
Menjawab perkara itu, Juliana secara tidak langsung menjelaskan bahawa pemilihan namanya juga mempunyai kisah tersendiri dan berkait rapat dengan minat ibunya sejak dahulu.