Skip to main content

Berita Tempatan

"Kadang-Kadang Saya Pun Menangis..." - Uqasha Senrose Syukur Ibu, Nelydia Jadi Tulang Belakang Urus Hawra Uqaira

uqasha_hawra

Pelakon popular Uqasha Senrose menzahirkan rasa syukur dan sebak apabila berkongsi tentang perjalanan awalnya sebagai seorang ibu yang banyak dibantu oleh insan terdekat, terutamanya ibunya, Rosmizah Mohd Noor dan adik tersayang, Nelydia Senrose.

Dalam satu siaran langsung di TikTok, Uqasha berkata, ibunya menjadi insan paling banyak memberi tunjuk ajar dan kekuatan ketika dia masih belajar menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baharu selepas melahirkan puteri sulungnya, Hawra Uqaira.

Advertisement

“Saya berterima kasih kepada mak saya. Dia banyak mengajar saya sejak hari pertama saya bergelar ibu.

Walaupun saya pergi ke kelas dan baca tentang penyusuan, saya tetap kekok pada mulanya. Rupanya, semua itu kena lalui sendiri baru faham. Maklah yang banyak bantu saya dan ajar dari hati seorang ibu,” katanya penuh syukur.

Menurut Uqasha, selain ibunya, adik bongsu kesayangannya Nelydia juga antara individu paling banyak membantunya, terutama apabila dia perlu keluar bekerja atau terlibat dalam penggambaran.

“Anak saya, Qaira, cuma nak dengan saya, mak dan Nelydia. Dia tak mahu dengan orang lain sebab muka Nelydia pun hampir sama dengan saya.

"Setiap kali saya ada shooting, Nelydia akan jadi orang pertama yang datang rumah, ambil Qaira dan bawa keluar supaya dia tak rasa sunyi. Saya bersyukur sangat sebab dikurniakan adik yang bukan saja penyayang tapi juga sangat memahami,” jelasnya.

Uqasha turut berkongsi bahawa walaupun berat hati meninggalkan anaknya setiap kali bekerja, dia tetap memilih untuk berterus terang dengan si kecil itu.

“Saya tak nak keluar diam-diam. Saya akan cakap dengan dia, ‘Qaira, ibu keluar bekerja ya.’ Walaupun dia menangis dan peluk saya kuat-kuat, saya nak dia tahu saya keluar mencari rezeki.

"Kadang-kadang saya pun menangis setiap kali melangkah keluar. Tapi mak saya selalu faham dan tenangkan saya,” katanya.

Dalam masa yang sama, Uqasha tidak menafikan bahawa kehidupannya sering menjadi perhatian ramai, lebih-lebih lagi selepas timbul khabar angin kononnya dia dan suami, pelakon Kamal Adli, saling tidak mengikuti antara satu sama lain di Instagram.

Sebelum ini, Uqasha pernah memuat naik hantaran berbaur luahan hati yang menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat.

Namun, pelakon itu memilih untuk fokus kepada keluarga kecilnya dan momen bahagia membesarkan puteri kesayangannya.

Untuk rekod, Uqasha dan Kamal bernikah pada 5 November 2021 dalam satu majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.

Pasangan ini kini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan comel, Hawra Uqaira, yang menjadi penyeri hidup mereka.

Must-Watch Video

Advertisement