Sekilas
- Kael menafikan penghijrahannya ke Islam hanya kerana ingin berkahwin dengan kekasihnya, sebaliknya dia sudah menyimpan hasrat itu sejak empat tahun lalu.
- Dia menganggap kekasihnya sebagai pemangkin dalam keputusan memeluk Islam, tetapi sokongan adalah perkara paling penting bagi dirinya.
- Kael merancang untuk mendalami agama Islam terlebih dahulu sebelum berkahwin, dengan perkahwinan dijangka dalam tempoh enam bulan akan datang.
Penyanyi dan pelakon Kael menafikan penghijrahannya memeluk agama Islam hanya kerana ingin mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya iaitu Engku Sulwani.
Sebaliknya Kael atau nama sebenarnya, Michael Lean Chien berkata dia mula menyimpan hasrat untuk berhijrah sejak empat tahun lalu, sebelum mengenali kekasihnya lagi.
“Kami berkenalan dah lebih dua tahun tapi ikutkan sebelum itu lagi saya memang sudah menyimpan hasrat untuk memeluk islam… jadi, saya memeluk Islam ini bukan disebabkan nak kahwin.
“Selama empat tahun ini, saya sentiasa bertanya pada diri sendiri, cumanya ketika itu saya masih lagi mencari… jadi sebelum saya jumpa dengan pasangan pun saya memang saya dah ada niat.
“Cumanya saya percaya bila saya bersama dengan dia, dia bagaikan satu pemangkin bagi keputusan saya. Bukan dia yang membuat saya untuk memeluk Islam tapi dia sebagai satu pemangkin sebab apa yang sangat penting bagi adalah sokongan,” katanya kepada Gempak.
Kael berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran rasmi lagu terbaharunya berjudul Senyum di Cocoday Cafe, Bukit Utama, Petaling Jaya pada Jumaat.
Dalam pada itu, pelakon yang pernah membintangi drama Awak Suka Saya Tak ini turut memberitahu buat masa ini dia mahu mendalami agama Islam terlebih dahulu sebelum berkahwin dengan kekasihnya.
Namun Kael mengakui dia mempunyai perancangan ke arah perkahwinan yang dijangka dalam tempoh enam bulan lagi.
“Secara ikhlas, saya ada rancangan untuk kahwin dengan pasangan saya. Tapi benda ni pun satu proseslah, sebabnya saya tak nak buat keputusan yang melulu.
“Prioriti saya yang utama adalah untuk proses mendalami Islam sebab keputusan ini amat besar. Kalau saya campur adukkan benda tu, benda tu akan menimbulkan stres.
“Pertama sekali ialah saya secara ikhlas dengan hati yang terbuka kembali pada Islam. Langkah seterusnya dalam proses perancangan untuk menuju ke arah perkahwinan ataupun membina rumah tangga itu, saya perlu ruang dan masa untuk belajar lebih mendalam langkah demi langkah.
“InsyaAllah dalam perancangan nak kahwin mungkin tahun hadapan, dalam tempoh enam bulan lagi,” ujarnya.
Pada Selasa lalu, Kael mengesahkan dirinya telah memeluk agama Islam melalui perkongsian video yang dimuat naik Instagram rasmi miliknya.
Kael hadir ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersama teman wanitanya, Engku Sulwani, untuk urusan pengislaman.
Kael sebelum ini sudah mendalami ajaran Islam dan merancang untuk berkahwin dengan Engku Sulwani selepas setahun mengenali hati budi masing-masing.