Sekilas
- Seorang pengguna Threads memuji Khairul Aming yang tidak pernah berhenti bekerja walaupun perniagaannya semakin berkembang pesat.
- Khairul Aming berkongsi jadual kerjanya yang padat termasuk persiapan produk baru dan menu restoran Rembayung serta kandungan Ramadan tahun depan.
- Khairul Aming baru sahaja melancarkan produk terbaru, Sambal Nyet Ikan Bilis, selepas enam tahun dengan hanya satu jenis sambal dan turun padang untuk mendapatkan bahan utama produk tersebut.
Seorang individu di Threads meluahkan rasa kagum terhadap pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming yang disifatkan tidak pernah mengenal erti rehat.
Menerusi hantaran yang dibuat, individu yang dikenali sebagai @azrinzainalll meluahkan rasa kagum melihat perniagaan Khairul Aming yang semakin berkembang.
Malah, individu itu turut menjadikan Khairul Aming sebagai inspirasi bagi orang di luar sana untuk keluar daripada zon selesa.
“Khairul Aming tak pernah rehat. Sangat bangga melihat perkembangannya. Baru saja buka restoran Rembayung kurang setahun, dah keluarkan produk baharu.
“Kalau KA (Khairul Aming) yang dah menjana pendapat besar pun tak berhenti, kenapa pula saya? Saya rasa ini adalah masa untuk saya keluar dari zon yang selesa,” kongsinya.
Perkongsian itu kemudiannya mendapat respon daripada Khairul Aming sendiri yang sempat berkongsi jadual kerjanya yang agak padat selepas ini.
“Lepas settle launching produk Jumaat ni, minggu depan dah kena start prepare untuk menu baru Rembayung dan content Ramadan next year pulak,” balasnya.
Terdahulu, Khairul Aming menyorot perhatian apabila memperkenalkan produk terbaharunya, Sambal Nyet Ikan Bilis selepas enam tahun berniaga dengan hanya satu sambal.
Lebih menarik, Khairul atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman sendiri turun padang termasuk mengikuti nelayan ke laut di Setiu, Terengganu serta mengunjungi ladang cili di Banting, Selangor bagi mendalami proses mendapatkan bahan utama produk baharunya itu.
Sumber: Threads