Ringkasan AI
- Dwayne Johnson mendedahkan dia mengalami kemurungan selepas bercerai dengan bekas isteri, Dany Garcia, pada 2007.
- Johnson berkongsi bahawa perpisahan itu memberi kesan besar kepada kesihatan mentalnya, terutama kerana mereka mempunyai seorang anak bersama.
- Dia menggunakan lakonan dalam filem kekeluargaan seperti The Game Plan dan Tooth Fairy sebagai cara untuk memperbaiki keadaan mentalnya.
- Walaupun bercerai, Johnson dan Garcia tetap bekerjasama sebagai ibu bapa dan rakan kongsi dalam syarikat produksi Seven Bucks Productions.
- Johnson mengakui perkahwinan mungkin bukan untuk mereka, tetapi mereka berjaya membina perniagaan bersama walaupun mengambil masa.
Aktor Dwayne Johnson mendedahkan dirinya berdepan kekecewaan sehingga membawa kepada masalah kesihatan mental selepas bercerai dengan bekas isteri pertamanya, Dany Garcia.
Johnson yang juga dikenali sebagai The Rock bercerai dengan Garcia pada tahun 2007 selepas 16 tahun menjadi suami isteri.
Pendedahan tersebut dibuat sewaktu Johnson menjadi tetamu dalam podcast The Hollywood Reporter's Awards Chatter, lapor E! News.
Bintang berusia 53 tahun itu tanpa berselindung mengatakan dirinya berdepan masalah kemurungan.
“Apabila anda berkahwin, anda mahu ia sampai ke garisan akhir dengan baik. Namun apa yang anda tidak tahu adalah ia tidak seperti yang dirancang.
“Ia (masalah) membelenggu saya dengan teruk,” akuinya.
Johnson juga menambah kemurungannya bertambah teruk kerana memikirkan mereka mempunyai seorang anak.
“Kami memiliki anak bersama dan bapa seperti apa yang akan saya jadi setelah itu (bercerai),” tambahnya lagi.
Dia kemudian mengaku kemurungan yang melanda secara tidak langsung telah mengubah kehidupannya.
Johnson menjadikan masalah kesihatan mental dengan menerima watak bersifat kekeluargaan seperti dalam The Game Plan dan Tooth Fairy.
“Saya berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki keadaan serta kesihatan dan caranya adalah dengan melakukan secara ‘berseni’,” katanya.
Meski bercerai, dia dan Garcia sepakat menjadi ibu dan bapa anak mereka secara bersama.
Mereka malah menjadi rakan kongsi dalam syarikat produksi Seven Bucks Productions.
“Mungkin perkahwinan bukan untuk kami tapi kami membina perniagaan bersama walaupun ia mengambil masa,” katanya.