Sekilas
- PU Riz berkata dia tidak menghalang Neelofa berkahwin semula jika dia meninggal dunia dahulu kerana kehidupan akhirat lebih penting.
- Dia menasihatkan Neelofa mencari suami yang lebih berilmu agama untuk menjaga keluarga dan anak-anak jika dia tiada kelak.
- PU Riz mengingatkan bahawa kasih sayang dunia sementara dan ikatan perkahwinan ada tempoh yang ditentukan Allah SWT.
Penceramah bebas, PU Riz atau Haris Ismail berkata dia tidak menghalang isterinya, Neelofa, untuk berkahwin semula sekiranya dia meninggal dunia terlebih dahulu.
Menurut Haris, kehidupan selepas kematian lebih penting untuk difikirkan berbanding soal pasangan yang ditinggalkan bakal berkahwin dengan orang lain.
“Kalau saya meninggal lebih awal, saya nak Lofa kahwin. Sebab apa? Pertama sekali, kita ada kehidupan yang perlu dijawab di akhirat kelak sampai kita langsung takkan fikir dah fasal hal dunia.
“Jadi daripada kita duduk fikir sekarang ini pasangan nak kahwin lagi ke tidak, teruskan. Bina ibadah. Yang penting awak doakan saya selamat di akhirat.
“Soal dia nak nikah yang lain, kita doakan dia teruskan ibadah. Dengan didikan kita, kita suruh pasangan berkahwin demi ibadah dan menjaga kemaluan serta diri. Pahala itu akan mengalir untuk si mati,” katanya.
Dalam pada itu, Haris turut berpesan kepada Neelofa supaya mencari lelaki yang mempunyai ilmu agama lebih tinggi daripadanya sekiranya dia pergi terlebih dahulu.
“Saya sendiri cakap, kalau esok-esok saya dah tiada, awak kahwinlah dengan yang lain. Cari yang ‘lebih ustaz’ daripada saya dan bina keluarga yang jauh lebih baik daripada apa yang kita bina sekarang.
“Masa suami Ummu Salamah meninggal, dia tertanya siapa orang yang lebih baik daripada suaminya yang bersusah-payah dan menjaganya, akhirnya Rasulullah sendiri yang mengahwini Ummu Salamah.
“Kita pun kalau dah tiada nanti, tentu kita nak isteri dapat berkahwin dengan orang yang lebih baik daripada kita.
“Mungkin anak-anak kita yang menjadi asbab perkahwinan baharu itu, suami itu ajar anak kita mengaji al-Quran dan ilmu agama. Bukankah kita sebagai arwah bapa turut memperoleh pahala yang banyak?” jelasnya.
Haris berkata, soal kasih sayang dan cinta di dunia adalah sementara kerana ikatan perkahwinan juga mempunyai tempoh yang ditentukan Allah SWT.
“Soal kasih dan cinta ini semua sementara. Sebab itu isteri dipanggil mahram sementara, bukan mahram selamanya. Mak kita barulah mahram selamanya.
“Jadi kalau Allah putuskan ikatan itu, carilah kehidupan dan bina agama untuk akhirat kita seterusnya,” ujarnya.
Untuk rekod, Neelofa dan Haris mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Bilal serta Abdullah Abbas.
Pasangan itu kini turut menantikan kelahiran anak ketiga.
Sumber - Threads