Penyanyi, Ernie Zakri akui tidak terkesan dengan isu untuk memboikotnya hanya kerana menjadi pembawa dulang di majlis pernikahan Amira Othman dan Fattah Amin baru-baru ini.
Menurut Ernie atau nama lengkapnya Ernie Shahirah Zakri,33, dia tidak melihat isu itu sebagai sesuatu yang wajar diperbesarkan kerana tujuan utama kehadirannya hanyalah untuk meraikan sahabat baiknya.
Advertisement
“Terpulang kepada merekalah, kalau mereka rasa ia adalah perkara yang betul untuk boikot, saya tak boleh nak halang.
“Tak akan saya nak ambil telefon dia kata jangan boikot saya. Terpulang kepada mereka untuk sokong siapa yang mereka minat, saya hanya datang majlis itu untuk menyokong kawan saya yang mendirikan rumah tangga tiada niat lain, hanya datang ke majlis yang Allah suka. Kalau nak boikot suka hatilah,” katanya kepada Gempak.
Mengulas lanjut, pelantun lagu Ku Bersuara itu berkata setiap orang berhak untuk mempunyai pendapat dan citarasa masing-masing namun terkadang netizen terlalu cepat membuat kesimpulan tanpa mengetahui kisah sebenar.
“Masing-masing ada pendapat, taste mereka sendiri. Kadang-kadang apa yang kita komen dan kita sebelahkan pihak itu ini, kita sendiri tidak tahu cerita sepenuhnya pun.
“Saya hadir ke majlis itu dan menjadi dulang girls adalah sebagai meraikan kawan saya yang nak mendirikan rumah tangga. But at the end of the daya kisah mereka ke, apa-apa saja isu daripada mereka kita tidak tahu.
“Macam kelakar, bila kita tak pernah ada dalam kehidupan mereka, kita pula yang lebih tahu dan memilih untuk berada di side siapa, pada saya benda itu quite funny sebab kadang-kadang suami saya sendiri tak tahu saya kentut,” ujarnya.
Terdahulu, ada segelintir netizen yang kurang senang apabila melihat Anzalna Nasir, Bell Ngasri, Alvin Chong, Qasrina Karim, Hawa Rizwana, Nabila Razali dan beberapa rakan artis lain menjadi pembawa dulang pada majlis akad nikah Fattah Amin dan Amira Othman.
Malah mereka juga mengambil keputusan untuk berhenti menyokong artis-artis terbabit.
Sekadar info, Fattah dan Amira itu dinikahkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan disaksikan bapa pengantin perempuan.
Pihak lelaki menerima lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan.
Amira juga menerima mas kahwin seutas gelang tangan emas.