Sekilas
- Noraniza Idris meluahkan kebimbangan tentang masa depan seni batik tradisional yang berisiko hilang kerana kurangnya pewarisan kemahiran kepada generasi muda.
- Koleksi fesyen EMYALY x Noraniza Idris menggunakan batik buatan tangan yang terhad pengeluarannya dan menampilkan rekaan tradisional serta kontemporari dengan harga antara RM280 hingga RM489.
- Kolaborasi ini bertujuan mendidik masyarakat tentang nilai batik asli berbanding batik mesin serta mempromosikan warisan seni batik dalam pelbagai acara selain Aidilfitri.
Ratu Irama Malaysia dan etnik kreatif, Noraniza Idris meluahkan kebimbangan terhadap masa depan seni batik tradisional yang berdepan risiko kehilangan penggiat mahir, terutama apabila kemahiran tersebut tidak diwariskan kepada generasi baharu.
Menurut Noraniza atau mesra disapa Kak Ani, penghasilan batik asli memerlukan kemahiran dan ketelitian tinggi, malah terdapat teknik tradisional yang hanya dikuasai oleh segelintir pengusaha.
“Batik ini ada pengeluar yang sangat terhad, yang dah berumur dan tidak diwariskan kepada anak-anak mereka. Jadi, itu yang kita nak jaga sekarang.
“Sebab itu kita nak angkat produk-produk macam ini. Kalau kita tidak ada komposer yang betul-betul boleh buat, kita takkan dapat lagu yang betul-betul ada jiwa. Sama juga dengan batik,” katanya.
Noraniza berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenalkan koleksi fesyen EMYALY x Noraniza Idris yang mengangkat keindahan batik Terengganu menerusi rekaan tradisional dan kontemporari.
Jelasnya, usaha menghasilkan koleksi tersebut sudah lama dirancang, namun berdepan cabaran mendapatkan pengusaha batik yang mampu menghasilkan bekalan secara konsisten.
“Sebenarnya kami memang dah lama mencari batik dan pengeluar batik. Cuma kami tak dapat, kalau ada pun tidak konsisten untuk kita keluarkan dalam jumlah yang banyak.
“Bila kami dapat jumpa EMYALY dan lihat koleksi mereka, kami berbincang dan mereka faham apa yang kami nak. Jadi, kami bersetuju untuk bekerjasama dan mengeluarkan kempen raya ini,” katanya.
Sementara itu, wakil EMYALY mengakui teruja apabila berpeluang bekerjasama dengan penyanyi yang dianggap sebagai antara ikon seni warisan Melayu.
“Bila saya dapat konsep daripada Kak Ani, memang gementar dan teruja. Tak mungkin saya akan cakap tidak kepada ikon saya.
“Saya kenal Irama Malaysia daripada Kak Ani,” katanya.
Mengulas mengenai koleksi berkenaan, pihak EMYALY menjelaskan setiap helaian dihasilkan menggunakan batik buatan tangan, menjadikan jumlah pengeluarannya terhad.
Malah, faktor cuaca serta proses pewarnaan secara manual turut mempengaruhi tempoh penghasilan dan hasil akhir setiap fabrik.
“Semua ini sangat terhad sebab buatan tangan dan bergantung pada cuaca. Kalau hujan atau lembap, proses penghasilan akan terjejas.
“Koleksi yang dikeluarkan hari ini memang sangat terhad. Kalau ada keluaran seterusnya, warna dan coraknya akan berbeza. Ia tidak akan sama seperti yang pertama,” jelas wakil jenama itu.
Dalam masa sama, pihak EMYALY berharap kolaborasi tersebut dapat membantu mendidik masyarakat mengenai perbezaan batik asli buatan tangan dengan fabrik bercorak batik yang dihasilkan menggunakan mesin.
“Ramai yang tanya kenapa batik asli mahal. Jadi, kita kena terangkan kenapa harganya begitu.
“Kalau mesin yang buat, sebab itulah lebih murah. Yang penting ialah pendidikan dan penerangan supaya orang tahu nilai batik asli,” katanya.
Koleksi EMYALY x Noraniza Idris yang mengangkat tema Warisan, Seni dan Kemewahan memperkenalkan empat rekaan, iaitu Salam Kaut, Batik Lelaki, Dikir Puteri dan Hati Kama.
Salam Kaut menampilkan busana klasik dengan sentuhan batik asli pada harga RM489, manakala Batik Lelaki mengetengahkan potongan moden, longgar dan santai dengan harga antara RM280 hingga RM320.
Dikir Puteri pula hadir dengan padanan baju dan seluar palazzo pada harga RM480, sementara Hati Kama merupakan kardigan batik yang ditawarkan pada harga RM299.
Menariknya, koleksi tersebut bukan hanya sesuai digayakan ketika Aidilfitri, malah boleh dipakai ke pejabat, majlis rasmi dan pelbagai acara lain.