Skip to main content

Hiburan

“Kalau Saya Tak Diuji Mungkin Saya Akan Terlena Dengan Dunia” - Haliza Maysuri

Haliza Maysuri

Sekilas

  • Usahawan dan pempengaruh Haliza Maysuri berkongsi pengalaman diganggu sihir sejak 2004 yang menyebabkan dia sakit dan rebah secara tiba-tiba ketika berniaga.
  • Pelbagai kejadian mistik berlaku di rumah dan premis perniagaannya termasuk kelibat lelaki tua, tanah kubur, ular hitam, dan lipan bara yang merayap dalam bilik.
  • Walaupun menghadapi gangguan, Haliza menganggap ujian itu sebagai pengajaran untuk memperbaiki amalan dan terus kuat dalam perniagaan serta kehidupan.

Usahawan dan pempengaruh media sosial, Haliza Maysuri berkongsi mengenai detik sukar yang dihadapinya dipercayai akibat perbuatan sihir.

Menurut Haliza, pelbagai gangguan mistik yang berlaku sehingga mendatangkan kesakitan namun pelik apabila keputusan kesihatan di hospital tidak menunjukkan sebarang masalah dari segi fizikal.

‘Saya tak dapat nak berselindung lagi (gangguan sihir), banyak kali terjadi apabila saya tengah melayan pelanggan tiba-tiba rebah. Ia berlaku secara tiba-tiba dan selalunya suami akan azankan barulah saya kembali okay.

“Saya buat pemeriksaan kesihatan di hospital tetapi tiada penyakit yang dikesan.

“Saya sakit ketika bekerja sahaja, iaitu ketika ada majlis (bisnes) dan semasa saya masuk ke premis perniagaan saya.

“Macam-macam perkara pelik juga berlaku di rumah saya,” katanya kepada Gempak.

Ujarnya, kejadian mistik itu bukan baru malah sudah mula menganggunya beberapa tahun selepas mula berniaga pada 1998 lalu.

“Kami berniaga tahun 1998, namun pada tahun 2004 saya sudah mula sakit.

“Semasa berniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman, ketika nak buka pintu kedai saya nampak ada banyak tanah dengan bunga kemboja dan dalam almari kaca pula dipenuhi dengan air.

“Pernah suatu hari, saya nampak seorang lelaki tua berbaju putih, bersongkok, berjanggut dan bertongkat. Kemudian dia beri salam, saya ingatkan orang nak minta sedekah tapi bila nak bagi duit kelibatnya sudah hilang.

“Selepas daripada itu, saya mula tak sihat, bila orang ramai datang membeli saya menangis dan menggigil. Sampai satu tahap saya jatuh pengsan,” kongsinya.

Haliza berkongsi perkara tersebut di Majlis Pelancaran Suri Boss yang berlangsung di Premiera Hotel pada Rabu.

Walau bagaimanapun, Haliza yang merupakan pengasas jenama tudung Bawal Exclusive menganggap ada hikmah disebalik perkara yang berlaku.

Malah, dia juga merasakan kejadian yang berlaku merupakan pengajaran untuknya meningkatkan amalan.

“Saya tak bermusuh dengan sesiapa pun dalam perniagaan, malah tak pernah meniru atau ambil peduli tentang hal orang lain. Saya hanya fokus dengan perniagaan sendiri.

“Tapi saya tetap kuat semangat. Sebaik-baik pendinding adalah sedekah dan amalan. Saya juga bersangka baik, kalau saya tidak diuji dengan kesakitan mungkin saya akan terlena dengan dunia.

“Tuhan uji saya untuk saya kejar bukan sahaja dunia tapi akhirat,” ujarnya.

Pada Julai lalu, Haliza berkongsi beberapa kejadian misteri telah menimpanya sehingga membuatkan dirinya rebah di kediaman.

Antara kejadian mistik yang berlaku termasuklah ular hitam berulang kali masuk ke rumah, lipan bara merayap di dalam bilik, tanah kubur ditabur di hadapan butik serta air berbau kapur baru yang membasahi pintu kedainya.

Must-Watch Video

Advertisement