Sekilas
- Kamal Adli meminta orang ramai tidak menyerang bekas isterinya, Uqasha Senrose, secara peribadi berhubung drama terbaharu lakonannya, Madu Atau Racun.
- Beliau mengakui tidak layak memberi komen tentang drama tersebut tetapi berharap kritikan tidak melibatkan nama anak dan perkara peribadi Uqasha.
- Drama Madu Atau Racun mendapat kecaman kerana beberapa adegan dianggap tidak sesuai dengan budaya dan agama masyarakat Malaysia.
Pelakon, Kamal Adli terpanggil memberikan komen berhubung kecaman yang dilontarkan ramai terhadap drama terbaharu lakonan bekas isterinya, Uqasha Senrose iaitu Madu Atau Racun.
Menerusi ciapan di Threads, Kamal memaklumkan dia bukanlah orang yang layak untuk memberikan sebarang komen berhubung drama tersebut namun meminta jasa baik ramai untuk tidak menyentuh hal peribadi melibatkan bekas isterinya.
“Salam rakyat, minta maaf sangat. Saya tahu saya tak layak cakap apa-apa tapi pasal isu drama Madu Atau Racun itu.
“Saya harap sangat korang jangan attack personal Uqasha sampai melibatkan nama anak saya dan benda lain,” tulisnya.
Tambah pelakon filem Abang Long Fadil itu, dia tidak menyokong namun berharap komen yang dikeluarkan terhadap Uqasha tidak keterlaluan.
“Saya tidak sokong tapi janganlah sampai libatkan personal dan rezeki Uqasha ya.
“Terima kasih rakyat, sayang rakyat comel,” tambahnya.
Terdahulu, drama Madu Atau Racun lakonan Uqasha Senrose, Aliff Aziz dan Elisya Sandha mencetuskan kontroversi susulan beberapa adegan yang didakwa tidak sesuai dengan budaya dan pegangan agama masyarakat sehingga ada yang meminta ia ditarik balik.
Sumber: Threads