Skip to main content

Selebriti

Kamal Adli Rayu Urusan Jumpa Anak Selepas Cerai Dipermudah, Minta Netizen Berhenti Kecam Uqasha Senrose

Kamal mohon jangan kecam Uqasha

Sekilas

  • Pelakon Kamal Adli mengesahkan dia tidak sempat bersalaman dengan bekas isteri, Uqasha Senrose, selepas mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
  • Kamal berharap urusan bertemu dan meluangkan masa dengan anak perempuan mereka, Hawra Uqaira, akan menjadi lebih mudah selepas perceraian.
  • Kamal memohon orang ramai agar tidak meninggalkan komen negatif atau mengecam Uqasha di media sosial dan menerima keputusan perceraian itu dengan reda.

Pelakon Kamal Adli mengakui tidak sempat bersalaman buat kali terakhir dengan bekas isterinya, Uqasha Senrose, sejurus mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada Isnin.

Kamal berkata demikian ketika ditanya sama ada hubungan persahabatan dapat dikekalkan antara mereka selepas perceraian.

“Saya tak tahu (kekal hubungan kawan dengan Uqasha). Salam dia pun saya tidak dapat lagi.

“Kami memang berpecah begitu sahaja. Saya tunggu juga (untuk salam) tapi tidak apa,” katanya.

Dalam pada itu, Kamal berharap urusannya untuk bertemu dan meluangkan masa bersama anak perempuan mereka, Hawra Uqaira, akan menjadi lebih mudah selepas ini.

“Saya harap selepas ini saya boleh lebih senang untuk berjumpa dengan Hawra. Sebelum ini memang agak susah juga untuk jumpa dia. Sebenarnya sudah lama saya tak luangkan masa dengan Hawra.

“Dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini, saya rasa saya hanya sempat berjumpa dengan Hawra sekitar lima kali sahaja.

“Jadi saya harap selepas ini semuanya dipermudahkan untuk saya jumpa dan meluangkan masa dengan anak,” ujarnya.

Kamal berkata demikian sejurus selesai melafazkan cerai talak satu terhadap Uqasha pada pukul 12.56 tengah hari di hadapan Hakim Syarie, Puan Siti Noraini Mohd. Ali.

Pada masa sama, Kamal turut merayu orang ramai agar tidak meninggalkan komen negatif atau mengecam bekas isterinya di media sosial.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan saya dari awal. Cuma saya nak pesan, tolong jangan tulis komen yang buruk tentang Uqasha. Tolong jangan kecam dia.

“Saya sudah cuba yang terbaik. Dari awal lagi saya cuba mempertahankan rumah tangga kami, tetapi jika Allah sudah tetapkan sampai di sini, saya terima,” katanya.

Terdahulu, Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Uqasha mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Mahkamah turut memerintahkan Uqasha menjalani tempoh idah selama tiga kali suci bermula dari tarikh lafaz talak dibuat serta mendaftarkan perceraian mereka.

Untuk rekod, Uqasha memfailkan permohonan perceraian terhadap Kamal pada 1 Oktober tahun lalu atas alasan tiada persefahaman.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang selepas lima bulan bertunang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang dilahirkan pada 27 April 2024.

Must-Watch Video

Advertisement