Sekilas
- Kamal Adli menyokong tindakan Fattah Amin yang mahu mengambil tindakan terhadap akaun media sosial ‘Musang Berjanggut’ yang didakwa menyebarkan fitnah mengenai kehidupannya.
- Fattah Amin telah membuat laporan kepada PDRM dan MCMC berhubung akaun tersebut yang didakwa memuat naik hantaran berbaur fitnah selama bertahun-tahun.
- Fattah menyeru orang ramai menggunakan fungsi laporan untuk menentang akaun seperti ‘Musang Berjanggut’ agar tidak terus wujud dalam masyarakat.
Pelakon, Kamal Adli menyuarakan sokongannya terhadap tindakan dibuat pelakon, Fattah Amin yang mahu mengambil tindakan terhadap akaun media sosial yang dikenali sebagai ‘Musang Berjanggut’ susulan dakwaan menyebarkan pelbagai fitnah mengenai kehidupan peribadinya, baru-baru ini.
Menerusi ruangan komen di Threads, Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli yang bersetuju dengan tindakan Fattah itu juga meluahkan hasrat untuk mengetahui siapakah individu sebenar disebalik akaun media sosial tersebut.
“Jahat gila mulut binatang tu. Bedal je Fatah. Tak nak report je. Nak tahu jugak siapa jadi musang tu,” tulis Kamal.
Terdahulu, Fattah meluahkan rasa terkilan apabila mendakwa akaun berkenaan telah memuat naik beberapa hantaran berbaur fitnah mengenai dirinya di media sosial.
Menurut Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, dia yang sebelum ini memilih untuk berdiam diri merasakan sudah tiba masanya isu itu ditangani melalui saluran yang betul.
“Saya serius tak nak kisah atas benda-benda remeh dan fitnah yang selama ini telah awak cipta. Tapi rasanya naratif yang digunakan, fitnah yang diada-adakan ini dah semakin melampau,” tulisnya.
Dalam masa yang sama, pelakon filem KL Special Force itu memaklumkan bahawa dia sudah lama membuat laporan terhadap akaun tersebut kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Saya dah lama report akaun awak ini pada PDRM dan SKMM sebab dah bertahun-tahun awak wujudkan fitnah-fitnah ini. Selebihnya yang lain-lain saya tak nak komen sebab anda semua boleh menilai bahasa dan kata-kata akaun Musang ini.
“Mungkin dah sampai masa kita gunakan button report ini beramai-ramai supaya akaun seperti ini tidak sepatutnya wujud di kalangan masyarakat kita,” ujarnya.