Sekilas
- Datuk Jalaluddin Hassan dinobatkan juara Kilauan Emas Selebriti edisi pertama selepas persembahan lagu Bollywood dan My Way di konsert akhir.
- Naib juara dimenangi Datuk Tamimi Siregar manakala Zila Bakarin menduduki tempat ketiga, masing-masing menerima trofi, emas khas, hamper dan pakej penginapan.
- Program selama tujuh minggu ini dihoskan Raja Azura dan Keanu Azman serta menampilkan juri tetap Jihan Muse dan Datuk Yusry KRU, disiarkan secara langsung di Astro Prima.
Menepati ramalan, bintang Kilauan Emas Selebriti, Datuk Jalaluddin Hassan dinobatkan sebagai juara bagi edisi pertama program berkenaan.
Untuk konsert akhir ini, Jalaluddin menyampaikan lagu Bollywood yang berjudul Humko Hamise Chura Lo berduet bersama Nadia Fharshah.
Untuk persembahan kedua pula, Jalaluddin mempersembahkan lagu berjudul My Way nyanyian asal Frank Sinatra.
Untuk kemenangan itu, Jalaluddin menerima sebuah trofi sumbangan Astro, single daripada Rocketfuel Entertainment, emas edisi khas tajaan Jus Arabic Gold, hamper tajaan Jus Arabic Gold bernilai RM800, serta tajaan pakej penginapan tiga hari dua malam di Grand Mercure Kuala Lumpur Bukit Bintang.
Bukan itu sahaja, Jalaluddin juga diumumkan sebagai penerima Anugerah Emas Berkilau of The Week dan menyerahkan wang sumbangan sebanyak RM2,000 kepada penyampai radio dan pelawak, Salih Yaacob.
Naib juara pula menjadi milik Datuk Tamimi Siregar yang membawa pulang sebuah trofi sumbangan Astro, single daripada Rocketfuel Entertainment, emas edisi khas tajaan Jus Arabic Gold, hamper tajaan Jus Arabic Gold bernilai RM600 serta tajaan pakej penginapan dua hari satu malam di Grand Mercure Kuala Lumpur Bukit Bintang.
Manakala tempat ketiga milik Zila Bakarin yang menerima sebuah trofi sumbangan Astro, emas edisi khas tajaan Jus Arabic Gold, hamper tajaan Jus Arabic Gold bernilai RM500 serta tajaan pakej penginapan dua hari satu malam di Grand Mercure Kuala Lumpur Bukit Bintang.
Sementara itu, Fazlina Ahmad Daud pula dinobatkan sebagai pemenang tempat keempat, Amyza Aznan tempat kelima sementara Rahhim Omar di tempat keenam.
Masing-masing membawa pulang sebuah trofi sumbangan Astro, emas edisi khas tajaan Jus Arabic Gold serta hamper tajaan Jus Arabic Gold bernilai RM350.
Kilauan Emas Selebriti akhir turut dimeriahkan dengan persembahan Teja yang menyampaikan lagu Kau Yang Tak Mengerti serta Baggio yang mendendangkan lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi.
Pentas KES turut dihangatkan lagi dengan persembahan tribute buat Allahyarham Joey BPR dengan persembahan pelakon, Wan Hanafi Su yang menyanyikan lagu ciptaannya yang berjudul Aku Hanyalah Serangga serta pelakon, Khir Rahman yang mendendangkan lagu Seribu Tahun Takkan Mungkin.
Kilauan Emas Selebriti dihoskan oleh Raja Azura dan Keanu Azman.
Kerusi juri pula menyaksikan gandingan pelawak Jihan Muse dan Datuk Yusry KRU sebagai juri tetap.
Dari segi penjurian, sebanyak 80 peratus markah ditentukan panel juri profesional manakala baki 20 peratus menerusi undian penonton secara dalam talian.
Kilauan Emas Selebriti 2026 berlangsung selama tujuh minggu secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam bermula 22 Ogos lalu, setiap Sabtu pada pukul 9 malam menerusi Astro Prima.