Skip to main content

Hiburan

Kekal Jelita Lewat 50-an, Maria Farida Akui Tak Pernah Buat Rawatan — “Saya Lebih Suka Menua Secara Semula Jadi”

Maria Farida

Sekilas

  • Datin Seri Maria Farida memilih untuk menua secara semula jadi tanpa melakukan sebarang rawatan kecantikan yang melibatkan suntikan atau pembedahan.
  • Maria percaya kejelitaannya adalah hasil faktor genetik dari keluarga yang juga kelihatan awet muda.
  • Pelakon ini bakal muncul dalam filem seram pertama lakonannya, Pemuja, yang turut menampilkan pelakon terkenal lain seperti Qi Razali dan Yasmin Hani.

Pelakon, Datin Seri Maria Farida sering meriah pujian ramai kerana penampilannya yang jelita dan menawan meskipun usianya sudah menginjak lewat 50-an.

Bercerita mengenai kejelitaannya, Maria atau nama sebenarnya Maria Farida Atienza mengakui dia tidak pernah melakukan sebarang rawatan untuk mengekalkan kejelitaan mahupun mengubah bentuk wajah asalnya.

Ujar Maria, dia memilih untuk menua secara semula jadi tanpa menggunakan sebarang teknologi.

“Saya sebenarnya tidak begitu suka memakai produk penjagaan kulit. Apa yang saya buat hanyalah pergi mendapatkan rawatan wajah kerana saya ditaja.

“Namun, rawatan yang saya buat hanyalah rawatan biasa sahaja. Bukan jenis yang melibatkan cucuk sana sini. Bagi saya, menua secara semula jadi itu lebih baik berbanding cucuk muka hingga kelihatan bengkak dan pelik.

“Lebih baik kita hargai apa yang Allah telah berikan dan manfaatkan sebaik mungkin. Di media sosial, ramai yang sering menuduh saya cucuk, buat pembedahan dan macam-macam lagi.

"Sedangkan bagi saya, orang yang melakukan suntikan sebenarnya kelihatan kurang menarik. Bila saya ketawa, semua boleh nampak kedutan di mata dan sebagainya,” katanya kepada Gempak.

Maria berkongsi perkara tersebut ketika majlis tayangan perfana filem lakonan terbaharunha yang berjudul Pemuja bertempat di TGV The Starling, Petaling Jaya pada Selasa.

Dalam pada itu, pelakon filem Senario The Movie 2: Beach Boys ini merasakan faktor genetik mungkin menjadi faktor kepada kejelitaan yang dimilikinya.

“Semua ini juga faktor genetik. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana ahli keluarga saya semuanya kelihatan awet muda. Ibu saya, arwah nenek dan di sebelah keluarga ayah termasuk dari Filipina, semuanya nampak muda.

“Jadi saya sangat bersyukur dengan perkara itu dan rasa tidak mengapa untuk menerima apa yang ada.

Ditanya mengenai pandanvan segelintir pihak yang beranggap dirinya masih seksi, Maria memaklumkan cara dirinya berpakaian hanyalah untuk kepuasan diri dan bukanlah untuk menarik perhatian orang.

Malah, dia juga sudah lali dengan sebarang komen yang diberikan kepadanya.

“Tentang orang yang berkata saya masih seksi, saya berpakaian untuk diri sendiri, bukan untuk orang lain. Suami saya juga okay. Selagi suami saya okay, saya okay. Saya tidak berpakaian untuk memuaskan hati sesiapa.

“Apabila orang kata saya seksi, saya tidak rasa saya seksi. Saya rasa diri saya biasa sahaja. Jadi saya tidak faham, tetapi mungkin setiap orang ada pendapat masing-masing. Jika mereka mahu menghentam saya, tidak mengapa.

“Saya tidak membalas komen, tidak sekat tetapi adalah membaca (komen). Itu pun sekadar membaca kerana perkara seperti ini sudah saya lalui berpuluh-puluh tahun. Jadi lama-kelamaan, saya anggap biasa sahaja.

Dalam perkembangan terbaharu, Maria bakal tampil menerusi filem Pemuja yang merupakan filem seram pertama lakonannya.

Selain Maria, filem arahan Azmir Affandi ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Qi Razali, Yasmin Hani, Namron dan ramai lagi.

Must-Watch Video

Advertisement