Sekilas
- Khairul Aming memperkenalkan konsep unik di restorannya, Rembayung, dengan mengajak pelanggan memakai pakaian tradisional setiap hujung minggu.
- Inisiatif ini bukanlah wajib, sebaliknya bertujuan untuk memeriahkan dan mengangkat semula pakaian tradisional Malaysia.
- Idea Khairul Aming mendapat sambutan positif daripada warganet yang teruja untuk turut serta memakai pakaian tradisional ketika berkunjung ke Rembayung.
Pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming tampil dengan idea unik untuk restoran miliknya, Rembayung yang baru sahaja beberapa hari dibuka.
Menerusi ciapan di Threads, Khairul Aming berhasrat mahu menjadikan hari minggu sebagai hari mengenakan pakaian tradisional buat pelanggan yang datang ke Rembayung.
“Saya ada hasrat nak jadikan setiap hari Sabtu dan Ahad di Rembayung hari kita pakai pakaian tradisional. Kalau customers yang datang esok dan lusa nak join, jom kita meriahkan sama-sama,” kongsinya.
Walau bagaimanapun, Khairul menjelaskan bahawa perkara tersebut bukanlah satu kewajipan namun ianya sekadar inisiatif untuk memeriahkan semula pakaian tradisional Malaysia.
“Jangan risau benda ni tak wajib. Sekadar nak ajak meriahkan lagi semua pakaian tradisi yang ada kat Malaysia,” katanya lagi.
Perkongsian itu kemudiannya meraih perhatian warganet yang rata-ratanya memuji hasrat Khairul Aming. Malah, mereka menyuarakan keinginan untuk berpakaian tradisional jika datang sebagai pelanggan pada hari minggu di Rembayung.
“Wah menarik idea ini.
“Walau bukan satu kewajipan, tapi ia satu usaha murni untuk menaikkan semula pakaian tradisional.
“KA selalu berfikir di luar kotak,” komen netizen.
Sumber: Threads