Sekilas
- Khairul Aming mengakui dia tidak gemar membeli cenderahati setiap kali melancong kerana menganggap ia bukan kewajipan dan mahu bercuti dengan tenang.
- Dia faham ada yang rasa tertekan nak cari buah tangan, tapi berpendapat ia tidak patut ganggu pengalaman percutian dan sebaiknya beli jika mahu tanpa mempersoalkan penerima.
- Khairul Aming juga menghormati tabiat orang yang suka ambil gambar ketika melancong kerana setiap orang ada cara tersendiri untuk abadikan kenangan.
Usahawan dan personaliti media sosial, Khairul Aming mengakui dirinya bukan seorang yang gemar membeli cenderahati untuk dibawa pulang setiap kali melancong.
Menerusi potongan pendek klip video siaran langsung yang tular di TikTok, Khairul Aming berkata dia memilih untuk tidak membeli sebarang buah tangan kerana menganggap perkara tersebut tidak sepatutnya menjadi satu kewajipan ketika bercuti.
Malah kata Khairul Aming lagi, rakan-rakan juga sudah memahami pendiriannya dan tidak mengharapkan dia membawa pulang cenderahati setiap kali melancong.
“Sejujurnya saya kalau jenis melancong memang tak beli cenderahati, daripada dulu lagi. Kenapa? Sebab malas.
“Jadi kalau saya pergi bercuti, kawan-kawan sudah tahu memang KA tak bawa balik apa-apa dan kalau mereka bercuti pun saya pesan tak payah bawa balik apa-apa. Tenang sahaja, jangan stress,” ujarnya.
Bagaimanapun, Khairul Aming juga turut memahami situasi individu yang berasa tertekan untuk mencari cenderahati buat keluarga atau rakan-rakan kerana bimbang penerima berasa kecil hati.
Namun, Khairul Aming berpendapat perkara tersebut tidak seharusnya menjadi beban sehingga mengganggu pengalaman seseorang ketika menikmati percutian.
“Kadang-kadang kan kesian tengok ada orang sampai tertekan nak cari cenderahati untuk bawa balik takut orang terasa hati.
“Saya senang, tak payah beli langsung. Tak ada orang terasa, sebab orang nak travel relax relax.
“Kesian juga ada yang tambah tekanan sebab takut orang terasa hati semua. Tapi beli sahajalah kalau nak beli.
“Yang dapat tak dapat tu pun janganlah mempersoalkan, sebab orang bagi ikhlas. Itu sahaja,” tegasnya.
Dalam pada itu, Khairul Aming turut menyentuh mengenai tabiat sesetengah individu yang gemar mengambil gambar ketika melancong.
Kata Khairul Aming lagi, setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk mengabadikan kenangan serta pengalaman di sesuatu destinasi dan perkara itu tidak sepatutnya dipertikaikan.
“Sama juga macam orang pergi bercuti banyak ambil gambar kan. Biarlah dia nak ambil gambar.
“Nak ambil dua minit sekali ke, 20 saat sekali ke biar sahajalah sebab mungkin itu first and last kita datang tempat tu.
“Orang kata rezeki untuk setiap orang nak melancong itu tak sama. Ada orang boleh pergi selalu, ada orang boleh pergi sekali sahaja seumur hidup dia.
“Dia nak ambil 10 juta gambar ke, selfie ke, biarlah. Dia nak upload sampai bertitik IG story pun biarlah. Dia pergi guna duit sendiri, dia tak curi duit orang,” katanya.