Sekilas
- Farahdhiya meluahkan simpati terhadap kanak-kanak dua tahun yang diserang anjing liar dan mendoakan kesembuhannya.
- Dia juga berkongsi ketakutannya terhadap anjing dan monyet, serta berharap tindakan segera diambil terhadap anjing liar yang membahayakan orang awam.
- Kejadian serangan anjing berlaku di Peserai, Batu Pahat, menyebabkan kanak-kanak itu cedera hampir seluruh badan pada waktu pagi.
Penyanyi, Farahdhiya meluahkan rasa simpati terhadap seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang dilaporkan diserang anjing liar baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Farahdhiya mendoakan agar kanak-kanak berkenaan diberikan kesembuhan dan kembali sihat seperti sediakala.
Namun, dalam masa yang sama, Farahdhiya mengakui dia juga turut mempunyai ketakutan terhadap anjing sehingga sanggup berpatah balik sekiranya terserempak dengan haiwan berkenaan ketika berjalan.
“Saya terbaca kisah budak berumur dua tahun diserang anjing liar. Semoga diberi kesembuhan dan sihat seperti dulu, sayang.
“Saya dari dulu sangat takut dengan anjing dan monyet. Kalau pergi jogging atau tengah jalan ternampak dari jauh, memang saya akan patah balik.
“Saya tak percaya sebarang anjing atau monyet. Cakap apa sekali pun, saya takkan lalu tepi mereka. Tak kira apa, mereka tetap haiwan liar,” maklumnya.
Dalam hantaran yang sama, Farahdhiya juga meluahkan rasa bimbang terhadap kelakukan haiwan berkenaan yang mungkin boleh bertindak agresif pada bila-bila masa tanpa di duga termasuk anjing mempunyai pemilik.
Disebabkan kebimbangan itu, Farahdhiya berharap akan ada tindakan yang diambil dengan segera terhadap anjing liar yang boleh membahayakan orang awam.
“Yang bertuan pun boleh menggila, apatah lagi yang liar.
“Yang berkenaan, tolong tangkap anjing-anjing liar terutamanya yang berada di kawasan perumahan. Cukup-cukuplah kejadian macam ini,” katanya.
Sementara itu, di ruangan komen rata-ratanya bersetuju dengan pandangan Farahdhiya.
Terdahulu, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun cedera hampir seluruh badan selepas dipercayai diserang sekumpulan anjing liar di kawasan Peserai, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7 pagi ketika mangsa berada di hadapan rumah keluarganya.