Sekilas
- Khaty Azian dan Mubarak Majid menerima penyingkiran dari Kilauan Emas Selebriti dengan hati terbuka walaupun bidang nyanyian bukan kepakaran mereka.
- Kedua-dua pelakon ini menyertai pertandingan untuk menyumbang kepada usaha kebajikan dan mencuba pengalaman baru dalam bidang nyanyian.
- Keputusan penyingkiran diumumkan pada minggu keempat program yang berlangsung selama tujuh minggu di Auditorium MBSA, Shah Alam dan disiarkan di Astro Prima.
Bintang Kilauan Emas Selebriti, Khaty Azian dan Mubarak Majid menerima keputusan penyingkiran dengan hati yang terbuka.
Menurut Khaty, meskipun pada awalnya tidak begitu yakin untuk menyertai pertandingan tersebut namun atas dasar mahu menyumbang kepada usaha kebajikan menerusi program berkenaan dia memberanikan diri mencuba sesuatu di luar bidangnya.
“Saya tak rasa frust sebab gagal dalam pertandingan, sebab pada permulaannya saya memang tak berani untuk masuk program ini. Kita kan pelakon, tetapi disebabkan charity, saya cuba.
“Saya tak rasa kecewa juga sebab masih ada kawan-kawan yang meneruskan charity ini. Tapi saya tetap bangga dengan diri sendiri.
“Dalam pada tak berani, saya berjaya juga berdiri membuat persembahan di pentas MBSA. Bukan semua orang terpilih, jadi alhamdulillah,” katanya kepada Gempak.
Sementara itu, Mubarak turut berkongsi pendirian sama apabila mengakui bidang nyanyian sememangnya bukan kepakarannya.
Menurutnya, sebagai seorang pelakon, dia menyertai KES sekadar mahu mencuba pengalaman baharu apabila diberikan peluang untuk menyanyi dalam program tersebut.
“Sebenarnya saya pun rasa ini bukan bidang saya, jadi saya tak ada rasa apa-apa. Saya pelakon, bukannya penyanyi. Jadi bila dipanggil untuk menyanyi dalam Kilauan Emas ini, saya cuba sahaja.
“Tapi alhamdulillah, sampai juga empat minggu saya dalam ini dan saya gembira sebab dapat belajar banyak benda,” ujar Mubarak.
Sekadar info, pentas Kilauan Emas Selebriti (KES) menyaksikan perjalanan bintang, Khaty Azian dan Mubarak Majid terhenti di minggu keempat selepas tiga minggu tanpa penyingkiran.
Keputusan itu diumumkan semasa segmen Piring Lagu Berbisa (PLB).
Turut berada di tangga tiga terbawah ialah Fazlina Ahmad Daud.
Kilauan Emas Selebriti dihoskan oleh Raja Azura dan Keanu Azman.
Kerusi juri pula menyaksikan gandingan pelawak Jihan Muse dan Datuk Yusry KRU sebagai juri tetap
Dari segi penjurian, sebanyak 80 peratus markah ditentukan panel juri profesional manakala baki 20 peratus menerusi undian penonton secara dalam talian.
Kilauan Emas Selebriti 2026 berlangsung selama tujuh minggu secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam bermula 22 Ogos, setiap Sabtu pada pukul 9 malam menerusi Astro Prima.