Skip to main content

Berita Tempatan

Kisah Pelopor Pekebun Kecil Getah Diangkat Ke Pentas, ‘Tok Ki’ Hidupkan Semula Sejarah Yang Hampir Dilupakan

Kisah Pelopor Pekebun Kecil Getah Diangkat Ke Pentas, ‘Tok Ki’ Hidupkan Semula Sejarah Yang Hampir Dilupakan

Sekilas

  • Teater 'Tok Ki' mengangkat kisah benar Mohd Isa Pandak Mat Aris, pelopor pekebun kecil getah di Malaysia, yang diolah dan diarahkan oleh Amran Nasrudin.
  • Pementasan ini menampilkan perjalanan Tok Ki dari bekerja di estet getah hingga berani membuka kebun sendiri walaupun berdepan cabaran dan pandangan sinis masyarakat.
  • Teater akan dipentaskan pada 24 hingga 26 September 2026 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur dengan harga tiket RM20.
Advertisement

Nama Mohd Isa bin Pandak Mat Aris mungkin tidak begitu dikenali generasi hari ini, namun perjalanan hidupnya sebagai antara pelopor penting pekebun kecil getah negara kini diangkat menerusi pementasan teater ‘Tok Ki’.

Diarahkan dan diolah skripnya oleh Amran Nasrudin, ‘Tok Ki’ membawa penonton menelusuri kisah seorang anak kampung yang berani mengusahakan tanaman getah sendiri ketika usahanya pada awalnya dipandang sinis oleh masyarakat sekeliling.

Advertisement

Menurut Amran, pementasan tersebut bersandarkan kisah benar Mohd Isa yang sebelum ini pernah diangkat Allahyarham Syed Alwi menerusi karya berjudul ‘ISA’.

Karya berkenaan juga pernah diterbitkan di TV3 sekitar tahun 1984 atau 1985 di bawah arahan dan penerbitan Allahyarham Rohani Yusof.

Menariknya, hasrat Amran untuk membawa kisah berkenaan ke pentas sudah tersimpan sejak lebih dua dekad lalu.

“Justeru itu saya mengambil inisiatif untuk mementaskannya sejak tahun 2005 lagi hinggalah tahun ini dapat dipentaskan di atas sokongan MOTAC.

“Saya selaku pengarah dan pengerusi PEMEKAR menjemput semua hadir menonton teater ini bagi mengembalikan nostalgia getah negara ini bermula dari sini,” katanya.

Amran berkata demikian ketika ditemui pada sidang media teater ‘Tok Ki’ di Stor Teater, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini.

Menurut Amran, dia difahamkan Tok Ki meninggal dunia pada usia 100 tahun dan penceritaan teater berkenaan bermula ketika RISDA meraikan sambutan 100 tahun getah.

“Jadi, yang kita gambarkan ini pada era 80-an itulah permulaan kisahnya. Tok Ki bercerita kepada pegawai RISDA pengalaman dia kepada anak-anak muda serta cucu cicit yang berada bersamanya.

“Selepas itu penceritaannya akan bawa kita ‘flashback’ kepada umurnya waktu 30-an, ketika mula dia bersama dengan pekerja estet dimana ketika itu estet dimonopoli oleh kaum India yang dibawa masuk oleh British.

“Jadi, di situ bermulanya Tok Ki merasakan bahawa dia dah tak perlu lagi bekerja di situ dengan apa yang dibuat British dan dia balik kampung dan ingin memulakan penanaman getah,” katanya.

Daripada keputusan tersebut, bermulalah perjalanan Tok Ki membuka tanah dan menanam getah dengan modal terhad serta sokongan isterinya, Long Safiah.

Usahanya bukan mudah apabila dia berdepan ejekan dan pandangan sinis masyarakat, selain cabaran turun naik harga getah, penyakit tanaman, peraturan kerajaan serta pelbagai kekangan sebagai pekebun kecil.

Namun, kebun kecil yang diusahakannya akhirnya membuahkan hasil sebelum menjadi antara pencetus kepada masyarakat kampung untuk melihat tanaman getah sebagai sumber kehidupan.

Bagi memastikan kisah tersebut dapat dipersembahkan dengan sebaiknya, Amran berkata, proses kajian mengenai Tok Ki sudah dilakukannya sejak 10 tahun lalu dengan bantuan Arkib Negara.

“Kalau perhatikan watak-watak itu memanglah watak yang orang kata sukar untuk dibawa. Saya tahu begitu sukar juga untuk kita membawa sebenar realiti kepada tahun 1910, 1920, iaitu 30 tahun sebelum merdeka.

“Pertama sekali, banyak yang kita kena jaga. Itulah sebabnya dalam teater ini kita tidak mengutarakan sangat dari segi bahasa dan sebagainya. Cuma bahasanya kita tahu loghat Kuala Kangsar, Perak.

“Kita tak boleh lari daripada itu. Jadi kita mengharapkan supaya teater ini dapat sambutan. Saya juga berterima kasih kepada Arkib Negara kerana sebenarnya, saya dah 10 tahun buat kajian tentang benda ini,” katanya.

Tanggungjawab menghidupkan watak Tok Ki diberikan kepada pelakon Fathil Dani yang mengakui perlu memberikan perhatian khusus terhadap penggunaan loghat Kuala Kangsar.

Biarpun berasal dari Perak, Fathil berkata, latar kehidupannya lebih dekat dengan kawasan pantai dan laut berbanding kehidupan sebagai pekebun getah.

“Tapi tak apalah, saya cubalah sedaya upaya saya menyahut cabaran daripada Amran Nasrudin untuk membawa loghat cerita Tok Ki ini. Dia kata kena cakap loghat daerah Kuala Kangsar.

“Sebenarnya loghat Perak ini banyak. Tak apa, bolehlah buat pasal kampung saya itu di Manjung, bahasanya macam Kuala Kangsar juga. Cerita ini memang menarik kerana Tok Ki akhirnya merajuk dan tukar dari getah kepada durian.

“Saya harap penonton datang berikan sokongan untuk pementasan ini nanti,” katanya.

Fathil memulakan kerjaya lakonannya di bawah pimpinan penerima Anugerah Seniman Negara 2004, Allahyarham Rahman B.

Selain Fathil, ‘Tok Ki’ turut menampilkan Shahriza Mahmud, A. Syaz, Qistina Liew, Amran Nasrudin, Zayrul-Iqwan Rosli, Shasha Masella, Nabil Fiqrie dan Shah Samurai.

Turut terlibat ialah Kathan Raj, Wong Sheng Meng, Bobie Challoo, Azuin Aziz, Jamaludin Husin serta pelakon kanak-kanak Zahraa’ Auni, Zakwan Aryan dan Zaira Alia.

Dianjurkan Persatuan dan Produksi Teater TOK KI (PEMEKAR), ‘Tok Ki’ akan dipentaskan pada 24, 25 dan 26 September 2026, jam 8.30 malam di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Sumbangan masuk ditetapkan RM20.

Anda mungkin berminat dengan

[COSRX OFFICIAL] AHA/BHA Clarifying treatment toner for acne prone skin_AHA 0.1% BHA 0.1% 150ml

[COSRX OFFICIAL] AHA/BHA Clarifying treatment toner for acne prone skin_AHA 0.1% BHA 0.1% 150ml

Laneige Lip Sleeping Mask

Laneige Lip Sleeping Mask

SHEGLAM Pore Face Primer Poreless Oil-Control

SHEGLAM Pore Face Primer Poreless Oil-Control

Charlotte Tilbury Airbrush Flawless Finish Loose Powder [#1 FAIR 8g, #2 MEDIUM 8g, #Brightening 01 FAIR - MEDIUM 9g]

Charlotte Tilbury Airbrush Flawless Finish Loose Powder [#1 FAIR 8g, #2 MEDIUM 8g, #Brightening 01 FAIR - MEDIUM 9g]

SHEGLAM Enigma Sparkly Glitter Eyeshadow Palette

SHEGLAM Enigma Sparkly Glitter Eyeshadow Palette

PRE-ORDER [RAYA BERSERI] Wardah Colorfit Velvet Powder Foundation SPF33 PA++|Raya Glow,Suci Lebaran

PRE-ORDER [RAYA BERSERI] Wardah Colorfit Velvet Powder Foundation SPF33 PA++|Raya Glow,Suci Lebaran

Must Watch Video

Advertisement