Sekilas
- Dr Afif Mohd Ridzwan mempertahankan Baby Shima berhubung kontroversi lirik lagu Masuk Lagi yang didakwa berbaur seksual oleh Public Health Malaysia (PHM).
- Beliau menegaskan penilaian karya seni perlu mengambil kira konteks penuh, niat komposer dan penjelasan artis, bukan hanya tafsiran tersirat semata-mata.
- Dr Afif menyeru agar platform berpengaruh lebih berhati-hati dalam menyampaikan mesej supaya tidak menjejaskan reputasi individu tanpa proses penilaian yang adil.
Pempengaruh kesihatan dan doktor perubatan, Dr Afif Mohd Ridzwan, tampil mempertahankan penyanyi Baby Shima susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh laman Facebook berkaitan kesihatan, Public Health Malaysia (PHM) berkaitan lirik lagu Masuk Lagi yang didakwa membawa pengertian ‘double meaning’ berbaur seksual.
Menurut Dr Afif, walaupun beliau amat menghormati peranan PHM sebagai platform pendidikan kesihatan awam, pendekatan yang digunakan dalam isu ini disifatkan sebagai tidak seimbang dan berpotensi menjejaskan reputasi individu tanpa proses penilaian yang adil.
“Ini pendapat saya secara peribadi sebagai seorang doktor. Dalam masa yang sama, saya amat menghormati peranan PHM yang saya kira sangat bagus.
“Cuma dalam isu ini, saya berpendapat kesihatan awam memang melibatkan aspek psikososial dan moral masyarakat. Namun, pendidikan tidak boleh disampaikan dengan cara yang terus menghukum, apatah lagi apabila hanya satu sudut tafsiran diketengahkan,” katanya.
Dr Afif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain menegaskan bahawa menilai sesebuah karya seni berdasarkan tafsiran tersirat semata-mata tanpa mengambil kira konteks penuh, niat komposer dan penjelasan artis adalah tidak adil.
“Dalam kes Baby Shima, penilaian dibuat seolah-olah maksud tersirat itu sudah pasti bersifat seksual, sedangkan artis sendiri pernah menjelaskan mesej sebenar lagu tersebut berkaitan wanita yang menunggu kekasih masuk meminang. Kenapa penjelasan ini langsung tidak diambil kira?” soalnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa perbezaan tafsiran dalam seni adalah perkara subjektif, dan menjadikannya sebagai asas untuk melabel kandungan sebagai ‘menjijikkan’ atau ‘melampau’ adalah tidak adil kepada Baby Shima mahupun orang awam.
“Kesedaran tidak sama dengan penghakiman. Pendidikan bukan memberi label. Apabila sebuah platform kesihatan menyebut nama artis, masyarakat akan melihat seolah-olah artis itu sudah bersalah, walhal tiada sebarang keputusan undang-undang dibuat.
“Kalau kita benar-benar mahu mendidik masyarakat, bincangkan isu secara umum, bukan memfokuskan kepada satu individu sehingga nama dan reputasinya terkesan apabila dikecam bertubi-tubi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr Afif menyeru agar semua pihak termasuk platform berpengaruh lebih berhati-hati dalam menyampaikan mesej, terutama apabila ia melibatkan seni, budaya dan individu awam.
“Kita boleh bincang soal nilai dan moral, tetapi jangan sampai pendekatan kita sendiri mencederakan prinsip keadilan dan empati.
“Bila seseorang cepat mengaitkan sesuatu dengan unsur seksual tanpa konteks, itu bukan semestinya kerana lirik itu lucah, tetapi boleh jadi kerana cara fikir dan kecenderungan dalaman individu tersebut.
“Kalau kita mahu bercakap tentang kesihatan awam, kita juga perlu berani bercakap tentang cara berfikir yang sihat. Tidak adil untuk menyalahkan artis semata-mata, sedangkan masalah sebenar mungkin terletak pada cara sesuatu itu ditafsir,” katanya.
Terdahulu, menerusi Facebook, Public Health Malaysia (PHM) mengeluarkan kenyataan mengenai lirik lagu Baby Shima, Masuk Lagi, yang didakwa mempunyai unsur makna berbaur seksual.
Kenyataan itu menimbulkan kontroversi dalam kalangan netizen sekaligus menimbulkan persepsi seolah-olah artis itu bersalah.