Sekilas
- Filem KUDRAT 1968: High Council mencatat kutipan RM6.5 juta dalam dua hari tayangan rasmi sejak 29 Oktober lalu.
- Barisan pelakon utama seperti Zarif Ghazzi dan Mierul Aiman menerima pujian atas lakonan mantap mereka yang menjadi bualan hangat di media sosial.
- Filem ini menggunakan pendekatan ‘One Story, Two Formats’ dengan gabungan siri premium dan filem layar lebar, kini ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Filem KUDRAT 1968: High Council terus menciptakan fenomena apabila menerima sambutan luar biasa selepas berjaya mencatat kutipan sebanyak RM6.5 juta, merangkumi kutipan tayangan awal serta dua hari tayangan rasmi di pawagam sejak 29 Oktober lalu.
Pencapaian membanggakan ini sekali lagi membuktikan kekuatan francais High Council yang terus mendapat tempat di hati penonton tempatan.
Bukan sekadar meraih sambutan di pawagam, KUDRAT 1968 turut menjadi bualan hangat di media sosial, khususnya menerusi lakonan mantap enam teraju utamanya, iaitu Zarif Ghazzi (Abbas), Mierul Aiman (Kuda), Akmal Asyraf (Piji), Dai Fuad (Pa), Evertts Gomes (Ghafar) dan Chech Harith (Mazli).
Keserasian serta penghayatan karakter yang ditampilkan barisan pelakon ini terus mencuri perhatian, sekali gus mengundang pujian dan pelbagai reaksi dalam kalangan penonton. Sambutan ini turut memperlihatkan potensi besar barisan bakat tempatan yang semakin mendapat perhatian dalam industri hiburan tanah air.
Astro Shaw merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh penoton Malaysia, khususnya peminat setia KUDRAT, atas sokongan luar biasa yang diberikan sejak pengenalan siri premium sehingga filem ini menemui penonton di pawagam.
Sambutan ini bukan sahaja menjadi pemangkin kepada kejayaan filem tersebut, malah membuktikan kemampuan karya tempatan untuk mencetuskan fenomena dan membina komuniti peminat yang kukuh.
Menerusi pendekatan inovatif ‘One Story, Two Formats’, KUDRAT 1968 memperkenalkan pengalaman penceritaan yang menggabungkan empat episod siri premium dengan sebuah filem layar lebar.
Diarahkan oleh Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraff, filem ini menampilkan barisan pelakon termasuk Zarif Ghazzi, Mierul Aiman, Akmal Asyraf, Dai Fuad, Evertts Gomes dan Chech Harith dan ramai lagi.
KUDRAT 1968 kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara. Untuk perkembangan terkini tentang filem, ikuti akaun media sosial Astro Shaw.