Sekilas
- Pelakon Korea Selatan Kwak Si Yang dan bekas anggota Lovelyz, Yoo Jiae, akan berkahwin pada 28 November selepas setahun menjalin hubungan.
- Majlis perkahwinan mereka akan diadakan secara tertutup dengan kehadiran keluarga dan kenalan rapat sahaja.
- Kwak Si Yang terkenal melalui filem dan drama popular manakala Yoo Jiae mula berjinak dalam dunia lakonan selepas meninggalkan kumpulan Lovelyz.
Pelakon Korea Selatan, Kwak Si Yang dan bekas anggota kumpulan Lovelyz, Yoo Jiae bakal menamatkan zaman bujang mereka tidak lama lagi.
Berita gembira itu diumumkan sendiri oleh kedua-dua belah pihak menerusi agensi masing-masing.
Memilih tarikh 28 November depan, keputusan itu diambil selepas mereka dikatakan sudah menjalinkan hubungan cinta kira-kira setahun.
Agensi Kwak Si Yang, 9ato Entertainment, kemudian mengesahkan berita berkenaan menerusi kenyataan rasmi.
Menurut agensi, pasangan itu memilih untuk melangkah ke fasa baharu kehidupan bersama berlandaskan rasa cinta dan kepercayaan yang mendalam.
“Kami berharap agar orang ramai dapat memberikan sokongan dan mendoakan kebahagiaan mereka ketika melangkah ke lembaran baharu dalam kehidupan.
“Kami juga memohon agar mereka terus diberikan doa, restu dan sokongan,” maklum agensi.
Majlis perkahwinan mereka akan berlangsung secara tertutup dan hanya dihadiri keluarga, saudara-mara serta kenalan rapat.
Dalam pada itu, agensi berkenaan memohon pemahaman orang ramai kerana tidak dapat berkongsi butiran lanjut mengenai majlis tersebut bagi menghormati privasi kedua-dua keluarga
Kwak Si Yang mula mencipta nama menerusi filem Night Flight pada 2014 sebelum membintangi pelbagai karya popular seperti Oh My Ghost, Alice, Lovers of the Red Sky dan Good Partner.
Dia juga bakal muncul dalam drama terbaharu KBS2, A Love Other Than Yours.
Sementara itu, Yoo Jiae membuat debut sebagai anggota Lovelyz pada 2013 sebelum berpisah dengan Woollim Entertainment pada 2021 dan menyertai KPLUS.
Awal tahun ini, Yoo Jiae turut membintangi drama pendek Doctor K.